06 August 2008

Syor Piagam Khas ganti akujanji

Berita Harian

KUSYUK: Sebahagian yang hadir pada Persidangan Perkhidmatan Awam 2008 di Intan Bukit Kiara, semalam.

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim mencadangkan supaya perakuan akujanji bagi penjawat awam dimansuhkan dan digantikan piagam khas yang meliputi prinsip mudah difahami bagi membolehkan kerjasama antara kerajaan dan pegawai berjalan lancar.

Katanya, penyediaan piagam yang merangkumi prinsip yang perlu dipatuhi penjawat awam perlu diwujudkan bagi menggantikan perakuan akujanji kerana ia lebih bersifat individu.

“Kita mempunyai perkhidmatan awam yang besar dan aktif. Ini memerlukan pembaharuan aspek pentadbiran dan pada masa sama memastikan hubungan pemimpin politik dengan kerajaan berjalan licin serta tidak ada masalah baik dari segi (pentadbiran) Persekutuan ataupun negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Memartabatkan Khidmat Awam - Perkongsian Bersama Ahli Politik’ pada Persidangan Perkhidmatan Awam Ke-13 di Institut Tadbir Negara (Intan), di sini semalam.

Zaid yang menyifatkan akujanji itu sebagai lebih berbentuk individu berkata, ia seolah-olah janji yang dilafazkan oleh penjawat awam untuk berjanji dan setia kepada pihak atasannya iaitu pemimpinnya atau kerajaan yang memerintah hari ini.

Selain itu, beliau juga mempersoalkan penggunaan ungkapan ‘saya yang menurut perintah’ seperti tertera dalam kebanyakan surat rasmi kerajaan yang dianggapnya negatif kerana seolah-olah menunjukkan pegawai kerajaan hanya bertindak apabila disuruh.

“Saya hanya menimbulkan persoalan untuk kajian... mengapa kita mahu menggunakan ungkapan ‘saya yang menurut perintah’. Kadangkala ia dilihat cukup negatif. Pada saya, adalah lebih baik jika perkataan lebih positif digunakan menggantikan ayat berkenaan,” katanya.

No comments: