'Tingkat keupayaan IPT tempatan'
Berita Harian
Pengembangan universiti beri peluang luas kepada generasi muda: Pak Lah
SUNGAI PETANI: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu universiti tempatan meningkatkan keupayaan mereka bagi membolehkannya menyediakan lebih banyak peluang kepada generasi muda menimba pelajaran pada peringkat tinggi.
Perdana Menteri berkata, dengan cara itu pelajar akan mendapat peluang lebih luas untuk melanjutkan pelajaran mereka dengan kos yang amat berpatutan.
"Saya amat gembira melihat institusi pengajian tinggi tempatan kita berkembang dan dinaik taraf yang mana ia membuktikan generasi muda kita amat memerlukan peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi.
"Pengembangan institusi pengajian tinggi tempatan dapat menyediakan peluang yang lebih besar kepada generasi muda, sekali gus membolehkan Malaysia memiliki tenaga kerja terlatih dan berkemahiran.
"Bagaimanapun, kejayaan atau kegagalan pelajar terletak pada sikap mereka sendiri dan saya mahu pelajar menggunakan sebaik-baiknya peluang yang ada untuk memajukan diri," katanya ketika berucap merasmikan Universiti Institut Perubatan, Sains dan Teknologi Asia (Aimst) di Bedong di sini, semalam.
Hadir sama, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mohamed Khaled Nordin; Presiden MIC yang juga Pengerusi Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED), Datuk Seri S Samy Vellu dan Pengerusi Aimst, Tan Sri Dr K Ampikaipakan.
Abdullah juga mahu Aimst bekerjasama dengan syarikat teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) terkemuka di Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) dan mengikut kurikulumnya bagi memenuhi keperluan industri, selain menyediakan tenaga manusia untuk KHTP dan Koridor Raya Multimedia Malaysia (MSC).
"Pembangunan MSC Malaysia memerlukan bakat yang relevan dengan industri dalam jumlah yang besar.
"Oleh itu kita hendaklah meningkatkan sumber bakat ICT dengan kos yang menguntungkan dari segi ekonomi dalam usaha memenuhi permintaan industri.
"Kampus Aimst yang berdekatan dengan KHTP, bandar siber pertama di Kedah, boleh memanfaatkan potensi yang ada untuk dieksploitasi demi faedah bersama," katanya.
Aimst yang juga universiti swasta milik MIC di bawah MIED ditubuhkan pada 15 Mac 2001 dan mendapat status universiti pada April 2007.
No comments:
Post a Comment