23 August 2008

Malaysia Kekurangan 10,000 Tenaga Sokongan Kesihatan

KOTA BAHARU, 23 Ogos (Bernama) -- Kualiti perkhidmatan kesihatan terhadap rakyat dipastikan di tahap terbaik sungguhpun negara kini kekurangan kira-kira 10,000 kakitangan sokongan dalam bidang kesihatan, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad.

Beliau berkata kerajaan tidak akan berkompromi dalam soal kualiti kerja kakitangan kesihatan walaupun sedar wujud tekanan kerja bagi kakitangan sedia ada yang saban hari terpaksa berdepan dengan jumlah pesakit yang ramai.

"Bagaimanapun kerajaan tidak menerima sebarang aduan daripada pesakit membabitkan kakitangan yang didakwa bekerja sambil lewa.

"Kalau adapun dakwaan (membabitkan) tempoh mendapatkan rawatan yang lama dan kurangnya layanan sewaktu mendapatkan rawatan dan itu mungkin disebabkan tekanan kerja," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan diploma kepada graduan pertama Kolej Islam Sains dan Teknologi (KIST) di sini, Sabtu.

Seramai 263 graduan dalam Kursus Diploma Kejururawatan, Diploma Pembantu Perubatan, Diploma In Diagnostic Radiography, Diploma Pengurusan Syariah dan Diploma Psikologi menerima diploma masing-masing pada majlis itu yang turut dihadiri Pengerusi Lembaga Penasihat KIST, Datuk Tengku Putera Tengku Awang.

Dr Abdul Latiff berkata jika kekurangan kakitangan sokongan kesihatan itu tidak diatasi segera, dikhuatiri akan menyebabkan nisbah kakitangan sedia ada dengan jumlah penduduk semakin tidak seimbang.

Untuk itu, katanya kementerian menggalakkan pihak swasta menyambut seruan kerajaan untuk menubuhkan sebanyak mungkin kolej perubatan berkualiti.

Katanya setiap tahun kerajaan dengan kerjasama beberapa kolej swasta berjaya melahirkan kira-kira 7,000 graduan dalam bidang sokongan sains kesihatan tetapi hanya 4,000 daripadanya sahaja yang terbabit secara langsung dalam bidang kesihatan.

"3,000 lagi mungkin berkhidmat dalam bidang lain dan sebagai contoh hanya kira-kira 100 atau 200 jururawat sahaja yang dapat dilahirkan dalam setahun sedangkan ia memerlukan lebih daripada itu," katanya.

Dr Abdul Latiff juga gembira kerana semua graduan KIST telah ditawarkan berkhidmat di hospital seluruh negara dan membuktikan bidang itu amat diperlukan di negara ini.

-- BERNAMA

1 comment:

Anonymous said...

Dalam hal ini soal tekanan dalam kerja wajar diberi perhatian. Pihak KKM tidak boleh bersikap 'Kerja Kerja Mengelat'.

Fungsi komunikasi, Etiket dan Sosial perlu diberi tumpuan kepada pekerja sokongan.

Moga mereka tidak lagi menganggap bekerja sebagai satu bebanan tetapi kerja sebagai satu budaya dan seni.