21 August 2008

Tunggu Bajet 28 Ogos untuk tahu pemberian bonus: KSN

Berita Harian

KUCHING: Kakitangan kerajaan diminta menunggu pembentangan Bajet pada 29 Ogos ini untuk mengetahui sama ada mereka akan menerima atau tidak bonus untuk tahun ini.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan ketika ditanya oleh media sama ada kerajaan akan membayar bonus pada tahun ini, enggan memberi sebarang bayangan.

“Itu terserah kepada kerajaan. Kita sama-sama tunggu,” katanya selepas menutup Persidangan Suruhanjaya-suruhanjaya Perkhidmatan Awam, Malaysia, Negeri dan Pelajaran, di Santubong, dekat sini, hari ini.

Sebelum ini, Cuepacs meminta kerajaan memberi bonus dan mengkaji semula kadar pemberian Elaun Kos Sara Hidup (Cola) untuk kakitangan awam pada pembentangan Bajet 2009 ini.

Mengenai pembabitan kakitangan awam berkempen dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh, Mohd Sidek berkata tindakan tegas diambil sekiranya kakitangan awam terbabit melanggar peraturan yang termaktub dalam pekeliling kerajaan.

Terdahulu, dalam ucapannya, beliau berkata kakitangan awam kontrak yang memohon lantikan tetap dalam perkhidmatan awam perlu diberi keutamaan jika memenuhi syarat skim perkhidmatan. - Bernama

No comments: