17 August 2008

Guru pondan kena tukar

Berita Harian

Bertugas di PPD sementara tunggu laporan penuh kes

KUALA LUMPUR: Guru yang ditahan Jabatan Hal-Ehwal Agama Islam Kelantan ketika menyertai pertandingan ratu cantik pondan di Kelantan, 25 Julai lalu, sudah ditukarkan ke Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Bachok, awal bulan ini.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, berkata tindakan sementara itu sehingga beliau menerima laporan penuh Jabatan Pelajaran Kelantan mengenai kes berkenaan.

Beliau berkata, guru sekolah rendah di Bachok itu kini menjalankan tugas pentadbiran di PPD terbabit dan difahamkan akan dihadapkan ke mahkamah syariah, akhir bulan ini.

"Dalam pada itu, Jabatan Pelajaran Kelantan juga sudah mengemukakan perakuan kepada Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Kementerian Pelajaran, supaya guru itu ditahan kerja mengikut Peraturan 24 yang digariskan dalam peraturan perkhidmatan.

"Apabila perakuan itu siap diproses nanti, guru berkenaan akan ditahan kerja bergaji separuh sehingga kesnya di mahkamah syariah selesai," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Akhbar baru-baru ini melaporkan guru itu antara 16 peserta ratu cantik pondan ditahan penguat kuasa Jabatan Hal-Ehwal Agama Islam Kelantan di sebuah resort terkemuka di Telong, Bachok, 25 Julai lalu.

Alimuddin berkata, sebarang tindakan lanjut kementerian ke atas guru itu akan diambil berdasarkan keputusan mahkamah syariah terhadap kes berkenaan.

No comments: