18 August 2008

Kaedah Baru Pengambilan Kakitangan Awam

Bernama

KUCHING, 18 Ogos (Bernama) -- Kerajaan akan mengguna pakai satu sistem baru untuk pengambilan kakitangan awam mulai hujung tahun ini, kata Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) Tan Sri Jamaluddin Ahmad Damanhuri.

Beliau berkata sistem itu yang dinamakan "Profiling Recruitment Model" telah digunakan untuk pengambilan calon bagi jawatan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) dan pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

"Profiling Recruitment Model kini dalam peringkat terakhir sebelum dilaksanakan sepenuhnya.

Jika diterima oleh semua perkhidmatan, SPA akan melaksanakan sepenuhnya menjelang penghujung tahun ini," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Persidangan SPA di Santubong dekat sini.

Perasmian disempurnakan oleh Ketua Menteri Tan Sri abdul Taib Mahmud.

Jamaluddin berkata pelaksanaan sistem pengambilan itu akan memastikan SPA mendapat calon yang seimbang daripada segi kualiti kerja, moral dan integriti untuk perkhidmatan awam.

Bagi memastikan sistem tersebut beroperasi dengan lebih efektif tanpa sebarang masalah, beliau berkata SPA kini mengkaji keperluan infrastruktur dan sedang bekerjasama dengan semua agensi dan jabatan.

Menerusi sistem pengambilan itu, calon akan melalui tiga proses saringan, iaitu peperiksaan, penilaian dan temuduga yang lebih berteraskan kepada latar belakang akademik, sahsiah dan keperibadian.

-- BERNAMA

No comments: