20 August 2008

Jumlah tahanan kini melebihi kapasiti penjara: KDN

Berita Harian

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mendedahkan jumlah tahanan penjara di seluruh negara melebihi kapasiti sebenar 37,717 orang berbanding 29,100 tempat dengan 30 peratus daripadanya warga asing.

Timbalan Menterinya, Datuk Chor Chee Heung, berkata kesesakan dalam penjara boleh membawa kesan negatif seperti risiko penyakit berjangkit, pergaduhan sesama banduan dan salah laku seksual.

Beliau berkata, ketika ini terdapat kira-kira 2,000 banduan yang menghidap penyakit seperti HIV, tibi, hepititis dan lain-lain.

"Kita mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengasingkan mereka supaya tidak bercampur dengan banduan yang lain," katanya ketika menjawab soalan Datuk Dr Mohamad Shahrum Osman (BN-Lipis) berhubung langkah yang diambil kerajaan bagi menghadapi situasi lebihan banduan di penjara di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata, Jabatan Penjara mengambil beberapa langkah jangka pendek dan panjang untuk mengatasinya seperti membina penjara baru yang dilengkapi sistem keselamatan terkini, kemudahan kesihatan, latihan pemulihan, penempatan dan kemudahan asas lain.

"Jika pembinaan penjara baru itu dapat disiapkan mengikut jadual Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) ia dapat meningkatkan kapasiti penjara di seluruh negara kepada kira-kira 40,000 orang," katanya.

No comments: