20 August 2008

Proses kenaikan pangkat jawatan pembantu AADK timbul kemusykilan

Berita Harian

SAYA menjawat jawatan Pembantu Antidadah, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan ingin meluahkan rasa kecewa dengan cara AADK menaikkan pangkat Gred S17 ke Gred S22 baru-baru ini.

Tahniah kepada yang berjaya dan kepada yang tidak berjaya jangan kecewa mungkin kali ini bukan rezeki anda. Bagaimanapun, saya berasa pelik dengan cara kenaikan pangkat ini.

Ada kakitangan baru bertugas tidak sampai lima tahun dan tidak pernah berkhidmat di Pusat Serenti dapat naik pangkat, namun ada yang bertugas lebih 15 tahun tidak dapat naik pangkat, tentu menimbulkan kemusykilan banyak pihak.

Jika sebelum ini lulus Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) dikatakan akan dipertimbangkan untuk kenaikan pangkat. Namun, dalam kenaikan pangkat baru-baru ini, ramai kakitangan yang gagal PTK dilantik.

Tindakan pihak pengurusan itu mengecewakan ramai kakitangan lain. Saya percaya pegawai yang benar-benar layak, terutama yang mendapat anugerah khidmat cemerlang, mendapat anjakan gaji kerana lulus PTK berasa kecewa dengan cara pemilihan kenaikan pangkat ini.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kongres Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) perlu membuat siasatan mengenai masalah ini.

Kepada pihak atasan AADK saya tidak iri hati kepada mereka terpilih, tetapi ingin tahu kriteria sebenar diguna pakai dalam kenaikan pangkat ke gred S22 ini.

Saya tetap mencari jawapan untuk menilai apa kekurangan yang menyebabkan saya tidak terpilih. Untuk makluman saya pernah mendapat Anugerah Cemerlang, Lulus PTK dan mendapat anjakan gaji.

ORANG LAMA AADK,
Kuantan, Pahang.

No comments: