Timur: Syor tambah elaun penerima pingat keberanian
Berita Harian
KOTA BHARU: Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) akan memohon kepada kerajaan supaya elaun bekas anggota tentera yang menerima pingat Seri Pahlawan (SP) dan pingat Gagah Berani (GB) dinaikkan daripada RM300 ke RM1,000 sebulan.
Presidennya, Datuk Muhammad Abdul Ghani, berkata ada kalangan penerima pingat itu hidup dalam keadaan daif dan jumlah elaun diterima terlalu rendah berbanding keadaan kehidupan semasa yang agak membebankan.
Katanya, hanya ada tiga penerima SP dan lebih 100 orang penerima GB di seluruh negara serta menjangka peningkatan elaun tidak akan membebankan kerajaan, dibandingkan dengan pengorbanan dicurahkan mereka kepada negara.
"PBTM akan mengajukan permintaan itu kepada kerajaan melalui Kementerian Pertahanan dalam masa terdekat ini bagi membolehkan bekas anggota terbabit menikmati keadaan hidup lebih selesa.
"Persatuan sedar kerajaan mungkin terlepas pandang mengenai nasib mereka dan berharap perkara ini akan segera direalisasikan demi masa depan mereka," katanya kepada Berita Harian di sini, semalam.
Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai jumlah elaun yang rendah kini diterima bekas tentera terbabit sehingga membebankan kehidupan mereka. Ketika itu, elaun diberi kepada penerima SP dan GB ialah antara RM300 hingga RM600 sebulan.
Muhammad berkata, bagi membolehkan tentera yang sudah berjasa itu menerima bantuan lain bagi menampung kehidupan mereka, PBTM meminta rakyat Malaysia terutama individu, bersikap ringan tangan dengan menghulur sumbangan kepada tabung Hari Pahlawan.
Katanya, sumbangan daripada individu agak mengecewakan kerana kini hanya sektor korporat yang banyak memberi sumbangan kepada tabung berkenaan.
"Individu terutamanya generasi muda didapati kurang sedar mengenai usaha mengisi tabung berkenaan. PBTM bukannya memaksa mereka berbuat demikian memandangkan sumbangan itu dilihat sebagai menghargai pengorbanan yang sudah diberikan bekas tentera sebelum ini.
"Sasaran kutipan Hari Pahlawan ialah sebanyak RM3 juta dan kini sudah mencecah hampir RM2 juta dan yakin jumlah itu mampu dicapai," katanya.
"PBTM sentiasa memantau perkembangan mereka bagi memastikan kehidupan sentiasa terbela dan meminta bekas tentera yang belum berdaftar dengan persatuan, segera berbuat demikian bagi membolehkan masa depan dibantu," katanya.
No comments:
Post a Comment