23 August 2008

CUEPACS harap ada bonus

Utusan Online

KUALA LUMPUR 22 Ogos - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berharap kerajaan akan mengumumkan pemberian bonus kepada kakitangan awam pada pembentangan Bajet 2009, 29 Ogos ini.

Presiden CUEPACS, Omar Osman berkata, pihaknya yakin kerajaan tidak akan membiarkan kakitangan awam terutama yang berpendapatan rendah berasa terbeban.

''Kita berpandangan positif tentang pemberian bonus ini. CUEPACS pernah membuat permohonan kepada kerajaan dengan menyerahkan surat pertimbangan bonus kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tiga bulan lalu.

''Kita juga sudah mendapat surat maklum balas daripada Perdana Menteri mengatakan kerajaan bersedia untuk mempertimbangkan perkara itu," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan yang meminta kakitangan kerajaan menunggu pembentangan Bajet untuk mengetahui keputusan pemberian bonus pada tahun ini.

Omar memberitahu, pihaknya akur dengan keadaan ekonomi negara tahun lalu sehingga menyebabkan hampir 1.3 juta kakitangan awam tidak menerima bonus.

''Kita tahu pemberian bonus ini tertakluk kepada kemampuan pihak kerajaan. Oleh yang demikian, harapan kita memang tinggi terutama semasa hendak menyambut perayaan tidak lama lagi," ujarnya.

Ditanya tentang jumlah pemberian bonus, Omar memberitahu, ia masih belum dapat dipastikan dan terpulang kepada kerajaan.

No comments: