01 August 2008

Kementerian Pelajaran wujud 3 bahagian baru

Berita Harian

PUTRAJAYA: Kementerian Pelajaran mewujudkan Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kluster; Bahagian Psikologi dan Kaunseling; serta Unit Pengurusan Sumber Manusia; dalam langkah penstrukturan semula yang dilaksanakannya sejak Mac lalu, kata Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Beliau berkata, selain itu sektor pendidikan dalam kementerian pula dibahagikan kepada tiga sektor teras iaitu iaitu Sektor Dasar dan Pembangunan Pendidikan, Sektor Operasi Pendidikan dan Sektor Pembangunan Profesionalisme.

Penstrukturan itu turut menyaksikan 17 jawatan dinaikkan gred, dan ia juga membuka peluang kenaikan pangkat buat Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) di peringkat Pejabat Pendidikan Daerah.

“Kuota 10 peratus daripada jumlah jawatan Pengelola gred DGA34 turut diperuntukkan buat Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma untuk kenaikan pangkat ke gred DGA38 secara Khas Untuk Penyandang (KUP),” katanya pada majlis penyampaian Anugerah Khidmat Cemerlang kepada 354 warga kementerian itu di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalannya Dr Wee Ka Siong, Ketua Setiausaha kementerian, Tan Sri Dr Zulkurnain Awang dan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Md Dom.

Dalam sidang berita selepas itu, Hishammuddin berkata penstrukturan itu melibatkan pendekatan dan pembaharuan kementerian termasuk di peringkat negeri, daerah dan sekolah, sebagai usaha memantapkan sistem pendidikan negara.

“Kami sedang berusaha merealisasi beberapa transformasi dalam sistem pendidikan dan semua itu tidak akan berjaya kalau tidak dibuat penyesuaian dalam kementerian sendiri,” katanya. - Bernama

No comments: