15 August 2008

Khidmat bekas guru sandaran elok diguna

Berita Harian

SAYA amat mengalu-alukan hasrat kerajaan yang mahu memberi peluang kepada guru bersara untuk mengajar semula jika berminat.

Saya faham langkah drastik Kementerian Pelajaran mengambil keputusan ini untuk mengatasi masalah kekurangan guru.

Jika guru bersara yang melebihi umur 56 tahun diberi peluang mengajar, kenapa pula tidak bekas guru sandaran yang pernah berkhidmat melebihi lima atau enam tahun dan lebih muda serta bertenaga, diberi peluang sama?

Guru bersara dan guru sandaran mempunyai pengalaman mengajar. Namun, guru sandaran disingkirkan dan tidak layak menyambung tugasnya selepas berumur melebihi 30 tahun bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia.

Khidmat guru sandaran hanya dipandang sebagai 'melukut di tepi gantang, keluar tidak mengurangi, masuk tidak memenuhi.'

Masih ramai guru sandaran yang pernah berkhidmat menunggu peluang mengajar, jika dipanggil semula. Jika Kementerian Pelajaran yakin guru bersara dan lanjut usia mampu mengajar, kenapa tidak bekas guru sandaran yang jauh lebih muda dan aktif serta lebih berminat untuk mengajar tidak diberi peluang?

Kursus dalam cuti (KDC) hanya ditawarkan kepada guru sandaran di sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil. Apakah nasib bekas guru sandaran yang mengajar di sekolah menengah dan kebangsaan?

Saya berharap Kementerian Pelajaran mengkaji semula dengan lebih terperinci dalam memberi tawaran KDC kepada guru sandaran di sekolah menengah dan sekolah kebangsaan tanpa mengira had umur, pengetahuan bahasa Tamil dan bahasa Cina.

Saya juga bercadang kementerian memberi peluang kepada bekas guru sandaran mengajar semula dan diserapkan ke perkhidmatan perguruan melalui kursus dalam cuti.

GURU SANDARAN MENGANGGUR,
Ipoh, Perak.

No comments: