01 December 2007

JPN, MPSJ, MPM menang hadiah utama

Berita Harian

KUALA LUMPUR: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan Majlis Perbandaran Manjung (MPM) masing-masing muncul pemenang tiga hadiah utama Anugerah Kualiti Sektor Awam (AKSA) 2007 berlangsung di sini, malam tadi.

JPN memenangi Anugerah Kualiti Ketua Setiausaha Negara, MPSJ (Anugerah Kualiti Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam), manakala Majlis Perbandaran Manjung (Anugerah Kualiti Ketua Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia).

Hadiah disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam majlis yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Hadir sama, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Sidek Hassan.

Bagaimanapun, tahun ini tiada pemenang bagi anugerah paling berprestij iaitu Anugerah Kualiti Perdana Menteri. Selain itu, Pejabat Daerah dan Tanah Alor Gajah muncul pemenang Anugerah Kualiti Pentadbiran Daerah dan Tanah.

Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia dengan projek e-Syariah pula meraih tempat pertama Anugerah Kualiti Teknologi Maklumat dan Komunikasi, manakala Kementerian Kesihatan dengan projek Sistem Maklumat Kawalan Penyakit Berjangkit (CDCIS) meraih tempat kedua.

Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri pula memenangi Anugerah Kualiti Pengurusan Kewangan bagi kategori jabatan, manakala Universiti Putra Malaysia (UPM) menguasai kategori badan berkanun dan Majlis Perbandaran Manjung untuk kategori pihak berkuasa tempatan.

AKSA bertujuan memberi pengiktirafan kepada organisasi sektor awam yang mencapai tahap kecemerlangan pengurusan kualiti dalam organisasi dan dalam bidang tertentu.

AKSA dibahagikan kepada Anugerah Kualiti Perdana Menteri, Anugerah Kualiti Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Anugerah Kualiti Pengurusan Kewangan, Anugerah Kualiti Pentadbiran Daerah dan Tanah, Anugerah Kualiti Pihak Berkuasa Tempatan dan Anugerah Kualiti Pengurusan Projek.

Sebanyak 27 pencalonan diterima bagi Anugerah Kualiti Perdana Menteri, Anugerah Kualiti Teknologi Maklumat (29), Anugerah Kualiti Pengurusan Kewangan (23), Anugerah Kualiti Pihak Berkuasa Tempatan (empat), Anugerah Kualiti Pentadbiran Daerah dan Tanah (13) dan Anugerah Kualiti Pengurusan Projek (12).

AKSA 2007 dibahagikan kepada dua peringkat iaitu peringkat pertama yang memberi pengiktirafan kepada agensi yang sudah mencapai kecemerlangan dalam pengurusan organisasi secara menyeluruh.

Peringkat kedua memberi pengiktirafan dalam pengurusan teknologi maklumat dan komunikasi, pentadbiran pihak berkuasa tempatan, pentadbiran daerah dan tanah, pengurusan tanah, pengurusan projek, inovasi dan kumpulan mutu kerja.

No comments: