Jangan amalkan gaya perbelanjaan hujung tahun
Utusan Online
PUTRAJAYA 27 Nov. – Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan meminta jabatan dan agensi kerajaan agar tidak mengamalkan gaya perbelanjaan yang hanya dilakukan pada hujung tahun semata-mata bagi menghabiskan peruntukan tahunan.
Menurut beliau, ketua-ketua setiausaha kementerian dan ketua jabatan telah diminta agar mempunyai jadual perbelanjaan dan melaksanakan projek dan pembelian yang dirancang dengan teliti.
‘‘Saya sudah menyatakan kepada semua ketua setiausaha kementerian dan ketua jabatan bahawa dalam aktiviti perbelanjaan jangan buat macam ‘Christmas shopping’.
‘‘Dia kena ada jadual pembelian barangan dan projek yang betul-betul dirancang, itu yang penting dan bukan setakat nak habiskan peruntukan sahaja,” katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan Hari Kualiti Jabatan Perdana Menteri 2007 di sini hari ini.
Menurut Mohd. Sidek, perbelanjaan kerajaan pada tahun ini dilakukan tepat pada sasarannya tetapi pada masa ini, jumlahnya masih rendah memandangkan tempoh kewangan bagi tahun ini masih belum berakhir.
Malah, katanya, keadaan itu juga disebabkan terdapat syarikat swasta yang terbabit dengan projek-projek kerajaan masih terus mengamalkan sikap menunggu pada hujung tahun bagi menghantar bil tuntutan pembayaran.
Ini katanya, menyebabkan kerajaan tidak dapat membuat pembayaran tepat pada waktunya.
‘‘Kerja-kerja telah dilaksanakan tetapi biasanya syarikat swasta tidak semestinya menghantar bil tuntutan tepat pada waktunya dan suka tunggu pada hujung tahun,” jelas beliau.
Dalam pada itu, beliau berkata, terdapat kementerian yang berjaya mencatatkan pembayaran dalam tempoh yang ditetapkan iaitu 14 hari sebanyak 100 peratus dan dari segi puratanya sebanyak 80 peratus pembayaran dibuat dalam tempoh tujuh hari.
‘‘Ini adalah salah satu contoh penambahbaikan sistem penyampaian awam,” katanya.
Terdahulu dalam ucapannya, Mohd. Sidek berkata, penyelewengan segelintir penjawat awam sebagaimana yang didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2006 telah mencemarkan imej perkhidmatan awam secara keseluruhannya.
‘‘Imej yang tercalar mengambil masa untuk dipulihkan. Sekiranya gejala ini tidak dibendung, semua usaha kerajaan untuk meningkatkan penyampaian perkhidmatan akan menjadi sia-sia,” katanya.
No comments:
Post a Comment