Cabaran apex pulih reputasi IPT tempatan
Berita Harian
Oleh Syuhada Choo Abdullah
HARAPAN banyak pihak untuk meraikan kegemilangan institusi pengajian tinggi (IPT) negara dalam pengukuran bertaraf antarabangsa sekali lagi berkecai apabila keputusan penarafan Times Higher Education Supplement (THES) tahun ini gagal memihak kepada Malaysia.
Penilaian itu yang dikendalikan Quacquarelli-Symonds (QS), agensi berpangkalan di London bukan saja tidak menyenaraikan satu pun IPT Malaysia sebagai 200 universiti terbaik dunia, malah kedudukan IPTA seperti Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang pernah menyinar dalam penarafan THES, turut merudum. Kali ini, UM hanya mampu berada pada tangga ke-246, USM (307) dan UKM (309).
Walaupun, banyak pihak mengemukakan pelbagai versi faktor, tidak keterlaluan sekiranya diandaikan isyarat awal sebenarnya sudah ketara menerusi pengumuman Kajian Reputasi Akademik IPTA 2006 oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed, beberapa hari sebelum keputusan THES 2007 dikeluarkan.
Hasil kajian pertama kali itu mendapati tiada satu pun di kalangan 17 IPTA meraih tahap pencapaian tertinggi enam bintang atau terbilang bagi persepsi Universiti Terbaik Keseluruhan.
“Terbilang bermaksud bertaraf dunia, bermakna masih belum ada IPTA negara ini yang mencapai status berkenaan berdasarkan persepsi responden terbabit,” akui Mustapa.
Bagaimanapun, pada sidang akhbar di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) ketika itu, beliau menjelaskan: “Sekali lagi, persepsi adalah amat subjektif. Secara umum, kualiti IPTA di Malaysia adalah baik tetapi masih ada ruang untuk meningkatkan mutu pengajian tinggi negara.”
Namun yang pasti, hakikat itu harus diterima positif sebagai indikator amat penting bahawa seluruh jentera kerja Kementerian Pengajian Tinggi tiada pilihan melainkan berpijak di bumi nyata, bekerja lebih keras dan memberi komitmen 100 peratus sekiranya tidak mahu segala matlamat dan sasaran dalam Pelan Strategik Pendidikan Tinggi Negara dan Pelan Tindakan Pendidikan Tinggi Negara, sekadar tinggal angan-angan.
Amat penting untuk menyedari bahawa kecemerlangan bidang pengajian tinggi adalah nadi kepada pembentukan modal insan berkualiti tinggi serta mampu mengangkasakan negara dalam mengharungi cabaran global yang semakin hebat.
Dalam pertemuan dengan Berita Harian di Putrajaya, baru-baru ini, Ketua Pegawai Eksekutif Pejabat Pengurusan Program (PMO) bagi agenda transformasi pendidikan tinggi negara di bawah kementerian itu, Prof Datuk Dr Sahol Hamid Abu Bakar, menegaskan sekarang bukan lagi masa untuk mana-mana pihak melontarkan kutukan berterusan.
Sebaliknya, sudah tiba masa untuk menggemblengkan seluruh dan sepenuh tenaga, tumpuan serta pengorbanan demi memastikan universiti negara berjaya merealisasikan hasrat mencapai taraf dunia melalui perancangan serta pelaksanaan yang digariskan dengan teliti dalam kedua-dua pelan strategik dan pelan tindakan itu.
Dalam pada itu, beliau berkata, kementerian akan mengumumkan pemilihan universiti, sama ada IPTA atau IPT swasta (IPTS), yang merintis status universiti apex sebagai landasan pantas untuk menjadi universiti bertaraf dunia, selepas pertengahan tahun depan.
Katanya, pemilihan itu akan membabitkan universiti yang dikenal pasti paling berpotensi mencapai taraf antarabangsa menjelang 2020.
“Sebagai prasyarat kejayaan, universiti apex mesti mengandungi elemen utama yang digariskan, iaitu pemimpin terbaik. Universiti ini mesti diterajui pemimpin yang mempunyai tahap serba cekap yang amat tinggi, antara lain mempunyai visi, sangat bermotivasi dan komited kepada kecemerlangan.
“Selain itu, ia perlu ada pentadbir dan pengurus cemerlang, mempunyai daya komunikasi hebat, memiliki nilai moral dan integriti yang sempurna, serta mampu memacu yang lain untuk turut cemerlang. Seterusnya, elemen fakulti terbaik, ahli akademik di fakulti universiti itu mestilah guru dan penyelidik yang hebat dalam bidang masing-masing.
“Sebagai guru, mereka mesti mempunyai teknik yang segar dan boleh menyuntik inspirasi serta motivasi tinggi. Penyelidikan mereka pula mestilah kreatif dan inovatif, melangkaui permintaan serta dapat melebarluaskan lagi sempadan ilmu pengetahuan sedia ada,” katanya.
Elemen lain ialah pelajar terbaik. Merit harus menjadi kriteria tanpa kompromi untuk pemilihan calon memasuki universiti apex. Hanya mereka benar-benar memenuhi syarat kemasukan akademik yang ketat akan terpilih. Dengan itu, pelajar terpilih harus mencatat kecemerlangan akademik pada standard tinggi secara konsisten dan berterusan sepanjang tempoh pengajian mereka.
“Satu lagi elemen ialah kemudahan terbaik. Universiti Apex harus menikmati kemudahan terbaik yang mempertingkat proses pengajaran dan pembelajaran serta penyelidikan dan pembangunan,” katanya.
Bagi tujuan itu, Sahol Hamid berkata, kajian serta tinjauan dilakukan ke universiti terkemuka di arena antarabangsa demi mempelajari segala yang terbaik sebagai ‘ramuan dan resepi’ untuk mencapai taraf dunia.
Beliau mengakui semua usaha terbabit bukanlah proses yang mudah, namun transformasi itu mesti direalisasikan dengan sepenuh keazaman, kegigihan, keikhlasan serta pengorbanan. Penjanaan modal insan berkualiti tinggi dengan mentaliti kelas pertama sebagaimana ditekankan Perdana Menteri, bukanlah mustahil direalisasikan.
“Banyak negara kini memacu pantas kemajuan mereka seperti Thailand, Korea, India dan China. Oleh itu, Malaysia sama sekali tidak boleh ketinggalan. Inilah sebab utama transformasi pendidikan tinggi negara mesti dijayakan.
“Transformasi ini mempunyai hala tuju dan matlamat yang amat jelas membabitkan empat fasa pembangunan dari 2007 hingga 2020, sasaran kuantitatif dan kualitatif, serta langkah mencapainya.
“Fasa pertama ialah membina asas (2007-2010), kedua pengukuhan dan peningkatan (2011-2015), ketiga kecemerlangan (2016-2020) dan keempat keterbilangan serta mempertahankan kejayaan.
“Perkara ini digariskan dengan sangat teliti dan terperinci merangkumi empat peringkat, iaitu individu, institusi, nasional serta antarabangsa. Kita bukan mahu suatu yang tidak dapat dicapai, tetapi suatu yang mampu direalisasikan pada tahap terbaik,” katanya.
Sahol Hamid berkata, pelaksanaan tujuh teras strategik digariskan dalam Pelan Strategik Pendidikan Tinggi Negara dibahagikan kepada 13 projek, iaitu apex, autonomi - pentadbiran, audit, kepimpinan, pembelajaran sepanjang hayat, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional, IPTS, akademia, pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan dan pembangunan, Skim Latihan Graduan, MyBrain15, serta pengantarabangsaan.
“Setiap projek ini akan ada penasihat dengan jawatankuasa masing-masing yang terpilih dari pelbagai latar belakang, termasuk dunia korporat dan universiti.
“Kita akan menyediakan bilik yang dipenuhi segala carta berkaitan untuk pemantauan berterusan supaya sentiasa maklum perkembangan terkini setiap universiti terbabit dalam semua projek berkenaan,” katanya.
No comments:
Post a Comment