27 November 2007

Masalah sara hidup pelajar kita di Asia Barat dikaji

KAHERAH 26 Nov. – Kerajaan akan mengkaji masalah yang dihadapi oleh para pelajar tajaannya di Asia Barat termasuk Mesir ekoran elaun sara hidup sekarang ini tidak lagi sesuai dengan kos taraf hidup yang semakin meningkat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memberi jaminan itu sebagai menjawab pertanyaan seorang pelajar jurusan perubatan di sini yang merayu kerajaan menaikkan elaun sara hidup yang didakwanya tidak pernah berubah sejak tahun 1980-an lagi.

Menurut Abdullah, beliau sendiri telah dimaklumkan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed berhubung masalah yang dihadapi oleh pelajar Malaysia di Mesir dan akan mempertimbangkan perkara itu.

‘‘Dalam bajet lalu, kita telah menaikkan elaun sara hidup bagi pelajar tajaan kerajaan di beberapa negara termasuk Amerika Syarikat dan Kanada.

‘‘Keputusan menaikkan kadar elaun itu adalah berasaskan kajian yang dilakukan setelah mengambil kira kos sara hidup di negara-negara terbabit dan selepas ini kajian sama akan dilakukan terhadap masalah pelajar kita di Mesir dan negara-negara lain,” katanya.

Abdullah berkata demikian pada sesi dialog dengan pelajar Malaysia selepas merasmikan Karnival Kerjaya Asia Barat di Cairo International Convention Centre (CICC) di sini, hari ini.

Terdapat lebih 7,000 pelajar Malaysia di Mesir, 1,200 pelajar daripadanya mengambil jurusan perubatan di tujuh buah universiti.

Menjawab pertanyaan lain, Abdullah berkata, banyak kes rasuah didedahkan oleh media massa sejak akhir-akhir ini bukannya menggambarkan amalan buruk itu semakin berleluasa berbanding dulu.

Beliau menegaskan, pendedahan demi pendedahan kes rasuah berlaku kerana kesedaran rakyat yang semakin meningkat terhadap peranan Badan Pencegah Rasuah (BPR).

Mengenai pelaksanaan dinar emas, Perdana Menteri menjelaskan bahawa kerajaan belum membuat keputusan menolak penggunaan mata wang itu dan ia masih di peringkat kajian Bank Negara.

Selain itu, kata beliau, penggunaan dinar emas juga perlu dibuat kajian dari segi penerimaan pelbagai pihak.

Berhubung keperluan Malaysia mewujudkan jawatan Mufti Negara bagi menyelaras isu-isu berkaitan agama, Abdullah berkata, perkara itu agar sukar dilaksanakan kerana pentadbiran urusan agama berada di bawah bidang kuasa negeri-negeri masing-masing.

‘‘Di samping itu, setakat ini tiada keperluan mendesak untuk mewujudkan jawatan Mufti Negara kerana urusan agama termasuk fatwa berjalan baik tanpa masalah. Bagaimanapun, perkara itu akan dipertimbangkan bila ia benar-benar mendesak kelak,” ujarnya.

Dalam ucapan perasmiannya, Perdana Menteri berkata, Malaysia selaku pengerusi Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) akan berusaha membantu negara Islam yang miskin untuk menggerakkan ekonomi mereka.

Menurut beliau, usaha perlu digerakkan bagi memastikan negara-negara Islam tertentu tidak terlalu bergantung kepada bantuan dari negara-negara penderma bukan negara Islam.

– Utusan

No comments: