29 November 2007

Tempoh bayar invois capai standard dunia

Berita Harian

PUTRAJAYA: Kemampuan sektor awam Malaysia menjelaskan bayaran invois dalam masa 14 hari bekerja, berbanding 30 hari sebelum ini, meletakkannya setanding dengan standard yang diamalkan oleh sektor swasta secara global, kata Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Kemampuan ini bererti perkhidmatan awam Malaysia mencapai kejayaan baru dalam mengurangkan kos pembiayaan oleh pembekal, terutama kontraktor, kata beliau dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata, kejayaan mengurangkan tempoh pembayaran kepada 14 hari bekerja daripada 30 hari hanya memerlukan disiplin dan komitmen baru daripada kakitangan awam.

“Langkah ini penting bagi memastikan pasaran kita terus relevan, terus berdaya saing kepada pelabur, baik dari dalam ataupun luar negara,” kata beliau.

Mohd Sidek berkata adalah menjadi peranan kerajaan sebagai pemboleh perniagaan dalam bidang ekonomi untuk meringankan beban yang ditanggung oleh pembekal perkhidmatan di mana perlu.

Tahun lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menggesa sektor awam melaksanakan tanggungjawabnya kepada kontraktor, terutama berkaitan pembayaran memandangkan golongan itu menghadapi kesukaran sekiranya lambat menerima bayaran.

Beliau meminta agar langkah diambil bagi memastikan isu yang sering timbul, ditangani dengan pantas dan cekap untuk mengelak timbulnya kerumitan dan bagi mengelak peningkatan kos pembiayaan yang berpunca daripada kelewatan pembayaran oleh kerajaan.

Sejajar itu, semua kementerian pada peringkat persekutuan dan negeri diminta memastikan tempoh pembayaran bagi semua jenis invois, tidak kira yang membabitkan kakitangan atau pembekal perkhidmatan, dikurangkan kepada 14 hari, mulai 1 November 2006.

Berikutan arahan itu, tempoh yang jelas dan tegas ditetapkan bagi menyelesaikan bayaran invois, bil dan tuntutan.

Mohd Sidek berkata pejabat pada peringkat negeri sudah menyelesaikan pembayaran bagi 41,655 invois berjumlah RM611.9 juta dalam tempoh 14 hari seperti yang ditetapkan.

Beliau berkata, jika pembayaran tidak dibuat dalam tempoh ditetapkan, pihak berkenaan boleh mengemukakan aduan kepada beliau melalui e-mel sidek@pmo.gov.my. - Bernama

No comments: