30 November 2007

Urusan di Pejabat Daerah dan Tanah Marang lebih pantas

Utusan Online

MARANG 29 Nov. – Inisiatif Pejabat Daerah dan Tanah Marang membangunkan aplikasi sistem rangkaian dalaman bagi melancar dan memudahkan proses tindakan berjaya memendekkan tempoh masa setiap urusan berkaitan orang ramai sebanyak 20 hingga 30 peratus.

Enam aplikasi tersebut iaitu bagi urusan tender, perolehan, mesyuarat, duti setem, maklumat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta permohonan pembangunan tanah dibangunkan sendiri oleh kakitangan jabatan itu sejak tahun lepas dengan kos tidak lebih RM1,000.

Hasil kreativiti mereka membolehkan Pejabat Daerah dan Tanah Marang terpilih sebagai calon akhir Anugerah Kualiti Sektor Awam (AKSA) bagi disiplin Anugerah Kualiti Pentadbiran Daerah dan Tanah Tahun 2007 yang berlangsung esok di ibu negara.

Menurut Pegawai Daerah Marang, Abdul Rahman Che Ali, aplikasi sistem rangkaian dalaman jabatan membolehkan beliau memantau pergerakan setiap kakitangan di samping mengenal pasti status tindakan semasa setiap urusan tanpa melibatkan perjalanan fail.

‘‘Sistem ini banyak membantu meningkatkan prestasi kerja malah sejak diperkenalkan, kakitangan kita tidak lagi merungut kerana banyak kerja walaupun jabatan ini masih kekurangan kira-kira 20 pekerja,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Beliau memberitahu, tiga aplikasi iaitu sistem duti setem, permohonan pembangunan tanah dan maklumat JKKK serta profail daerah boleh diakses oleh orang ramai untuk mengetahui status permohonan mereka di e-Kios yang ditempatkan di lobi jabatan dengan hanya memasukkan nombor kad pengenalan atau fail permohonan.

Malah jelasnya, aplikasi tersebut boleh diakses termasuk oleh pelajar dalam tempoh tujuh hari seminggu.

Katanya, sistem tender, perolehan dan mesyuarat pula sentiasa dipantau bagi membolehkan pihak pengurusan mengenal pasti prestasi kakitangan yang dipertanggungjawabkan.

Beliau memberitahu, semua sistem rangkaian tersebut mempunyai kawalan keselamatan melalui penggunaan kata laluan dan kakitangan hanya dibenar untuk mengakses aplikasi yang berkaitan dengan tugas mereka sahaja.

Hasil kejayaan sistem itu, pihaknya berhasrat membangunkan dua lagi aplikasi iaitu untuk sistem laporan prestasi kakitangan dan sistem pengurusan pilihan raya Parlimen Marang.

Jelasnya, pihaknya mendapat permintaan daripada jabatan lain supaya meningkatkan aplikasi tersebut di peringkat antara jabatan, namun ia perlu mendapat kelulusan Unit Pengurusan Maklumat Negeri Terengganu.

Pejabat Daerah dan Tanah Marang mempunyai 150 kakitangan yang menguruskan pentadbiran daerah seluas 68,399.6 hektar meliputi lapan mukim iaitu Alur Limbat, Rusila, Pulau Kerengga, Mercang, Jenung, Bukit Payong (Pekan), Bukit Payong (Binjai Rendah) dan Bukit Payong (Wakaf Tapai) dengan 150 penduduk bagi setiap satu kilometer persegi.

No comments: