25 November 2007

Syor tukar pegawai KIK setiap 3 tahun

Berita Harian

Oleh Johari Ibrahim

BUKIT KAYU HITAM: Anggota penguat kuasa di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK) di sempadan Malaysia-Thailand perlu ditukarkan setiap tiga tahun bagi mengurangkan kemungkinan mereka menjalinkan hubungan terlalu rapat dengan sindiket jenayah di negara jiran.

Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Mohd Johari Baharum, yang membuat cadangan itu semalam, berkata menempatkan seseorang anggota penguat kuasa terlalu lama di sesuatu KIK boleh menimbulkan masalah lain termasuk bersubahat dengan pihak tertentu untuk menyeludup senjata api.

"Ada (anggota) yang makan pagi dan tengah hari di negara jiran dan lama-kelamaan dia akan mendapat 'contact' di sana dan menjalankan aktiviti yang menyalahi undang-undang," katanya kepada pemberita selepas melawat KIK Bukit Kayu Hitam di sini, semalam.

Mohd Johari berkata, beliau akan mencadangkan kepada semua agensi penguat kuasa sempadan mengenai perkara itu.

Beliau juga berkata, anggota penguat kuasa sempadan juga perlu dihalang daripada memasuki Thailand bagi meminimumkan risiko mereka terbabit dengan kegiatan jenayah.

Katanya, langkah itu mampu mengelakkan kejadian seperti seorang anggota Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Padang Besar, Perlis, yang ditahan kerana menyeludup senjata api baru-baru ini.

"Saya difahamkan itu adalah kali kedua suspek membawa masuk senjata api maknanya sepucuk sudah diseludup ke negara ini.

"Itu baru dia seorang, bagaimana dengan yang lain-lain," katanya.

Beliau berkata, sehingga ini anggota Pasukan Gerak Am (PGA) bertugas di KIK bertukar setiap sebulan.

Mengenai mesin pengimbas di KIK, Mohd Johari berkata, sejumlah RM75 juta diperlukan bagi menyediakan alat itu di KIK yang kritikal iaitu di sini, Padang Besar dan Rantau Panjang, Kelantan. Setiap satu memerlukan RM25 juta.

Mesin pengimbas di sini dan Padang Besar dilaporkan rosak sejak lebih dua tahun lalu manakala sempadan di Rantau Panjang, Wang Kelian, Perlis dan Pengkalan Hulu, Perak, tidak ada alat itu.

Katanya, selain mesin pengimbas terkini yang mampu mengesan penyeludupan, kementerian juga mencadangkan supaya diletakkan televisyen litar tertutup di beberapa lokasi strategik di KIK dan sepanjang sempadan Malaysia-Thailand.

Mohd Johari berkata, beliau akan bertemu Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan berbincang dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, supaya peruntukan untuk pemasangan alat itu diluluskan segera.

Polis sudah memberi taklimat kepada MKN mengenai perkara itu.

Beliau berkata, apabila dipasang, semua agensi penguat kuasa sempadan seperti Imigresen, polis dan KDRM akan menggunakan mesin pengimbas sama supaya tindakan pencegahan dapat dilakukan secara bersepadu.

No comments: