26 November 2007

Orang Sarawak bukan anti pegawai Semenanjung

Utusan Online

LUBUK ANTU 25 Nov. – Penduduk Sarawak sentiasa mengalu-alukan pegawai dari Semenanjung Malaysia yang berkhidmat di negeri ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Maximus Ongkili hari ini.

Kata beliau, sebagai penduduk yang peramah, rakyat Sarawak sentiasa mengalu-ngalukan mereka ke negeri ini dengan tangan terbuka dalam menghargai bakti, komitmen dan pengorbanannya semasa berkhidmat kepada penduduk di sini.

“Adalah tidak benar bahawa penduduk Sarawak anti orang Semenanjung Malaysia yang didakwa oleh sesetengah individu yang menyebarkan cakap-cakap ini bertujuan menjejaskan hasrat murni kerajaan dalam meningkatkan hubungan yang lebih baik antara rakyat Malaysia menerusi program integrasi nasional,” katanya pada program orientasi bagi pegawai Persekutuan baru yang dihantar berkhidmat di Sarawak, di sini.

Mengenai program orientasi ini, beliau berkata, objektifnya adalah untuk mendedahkan pegawai baru itu kepada budaya tempatan dan menyesuaikan diri mereka dengan persekitaran baru.

Menurutnya, program itu yang dianjurkan Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional dengan kerjasama Pejabat Setiausaha Persekutuan Sarawak, telah menerima maklum balas yang positif dan ia telah dimaklumkan kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

“Melalui program ini, saya percaya bahawa anda akan memperoleh sedikit pengetahuan mengenai cara kehidupan orang tempatan dan membolehkan mereka bergaul dengan lebih baik dalam menjalankan tugas yang lebih baik,” kata beliau.

Seramai 16 pegawai Persekutuan dari Semenanjung Malaysia dan empat orang dari Sabah menghadiri program ketiga itu tahun ini yang bermula dari Jumaat lepas sehingga Selasa ini.

Ongkili menyeru ketua jabatan Kerajaan Persekutuan untuk terus bekerjasama dengan membenarkan pegawai mereka membabitkan diri dalam acara yang dianjurkan oleh jabatan masing-masing.

Terdahulu, Setiausaha Persekutuan, Ngah Senik berkata, program orientasi itu akan melengkapkan pegawai baru tersebut dalam menyesuaikan diri kepada persekitaran dan tempat kerja baru apabila mereka mula bertugas di negeri ini.

– Bernama

No comments: