12 July 2007

Wajib lulus kertas Sejarah SPM syarat baru jadi guru

Utusan Online

KEMENTERIAN Pelajaran mengenakan syarat lulus kepujian atau cemerlang kertas Sejarah Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam pemilihan calon guru baru ke Institut Pendidikan Guru (IPG) berkuat kuasa serta-merta.

Bagi pemegang ijazah, mereka hendaklah pemegang ijazah sarjana muda yang tepat dengan bidang yang dipohon untuk Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI).

Selain itu, kad laporan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) setengah tahun yang dibentangkan baru-baru ini, turut menegaskan bahawa calon tidak terlepas daripada syarat 10 peratus penglibatan aktif dalam kokurikulum daripada markah keseluruhan.

Markah 10 peratus itu meliputi penglibatan dalam peratusan, permainan, sukan dan olahraga.

Selain itu, calon guru perlu melalui proses temuduga kumpulan serta ujian bertulis bahasa Inggeris bagi yang memohon bidang pengkhususan Bahasa Inggeris.

Untuk memantapkan lagi program latihan perguruan, kad laporan itu menyebut bahawa sebuah kampus induk IPG Nilai yang dikenali sebagai Kompleks Pendidikan Nilai bernilai RM1.3 bilion akan dibina di kawasan seluas 728.22 hektar.

Kompleks ini dibangunkan berorientasikan latihan keguruan dan kepimpinan pendidikan yang akan menempatkan:

1. Kampus Induk IPG

2. Kampus Tambahan Institut Aminuddin Baki (IAB)

3. Pusat Latihan Bahasa Inggeris (ELTC)

4. Kuarters Pendidikan

5. Institut Pendidikan Khas

MEMANTAPKAN LATIHAN PERGURUAN

Bagi tujuan memantapkan latihan perguruan pindaan Akta Pendidikan akan dilakukan dengan memberi kuasa kepada Menteri Pelajaran untuk menganugerahkan ijazah keguruan kepada calon guru di IPG, menurut kad laporan itu.

Kini, draf pindaan sedang disemak Jabatan Peguam Negara. Bacaan Pertama di Parlimen dijangka Ogos 2007.

PROGRAM PENGANTARABANGSAAN LATIHAN PERGURUAN

Beberapa program telah diatur bagi tujuan ini, seperti meluaskan program ijazah Bacelor Pendidikan TESL serta mengadakan program dengan Beijing Foreign Studies University dalam Bahasa Cina sebagai bahasa kedua.

Turut diadakan adalah Program kolaborasi sarjana muda pengajaran sekolah rendah dengan sembilan buah universiti di luar negara.

Seterusnya, turut dijalin ialah program rintis bahasa Perancis dengan University France - Comte.

YAYASAN GURU TUN HUSSEIN ONN

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah melancarkan Yayasan Tun Hussein Onn pada sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan pada 16 Mei 2007 di Johor Bahru.

Fungsinya ialah menjaga kebajikan dan pembangunan guru dalam hal berikut:

1. Bantuan khairat

2. Bencana kecemasan

3. Pendidikan anak

4. Pembangunan profesionalisme guru.

Geran sebanyak RM100 juta terkumpul sumbangan kerajaan dan gabungan dengan entiti guru sedia ada, iaitu Kumpulan Wang Simpanan Guru (KWSG) dan Yayasan Guru Malaysia (YGMB).

1 comment:

Anonymous said...

Lancau apa. Macammana nak mantapkan bidang keguruan kalau guru sandaran tak terlatih bertimbun (GSTT)kat sekolah. Nak mantap macam mana kalau nak cukupkan guru terlatih pun susah. Nak ambil guru baru ke KPLI pun susah ke dan kenapa yang ada pengalaman GSTT tidak terus diutamakan. Banyak yang berpengalaman 4 hingga 5 tahun GSTT tak dapat peluang kerana kaedah pengambilan yang kurang betul!