14 July 2007

MB anggap pecah tanah pembohongan terancang

Berita Harian

SHAH ALAM: Selepas menyifatkan pemberian anugerah khidmat cemerlang kakitangan awam sebagai satu ‘pembohongan terancang’, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo sekali lagi menyamakan perkara itu dengan upacara pecah tanah dan pelancaran gerbang internet.

Beliau berkata, pelancaran gerbang internet atau upacara pecah tanah boleh dianggap satu pembohongan terancang sekiranya tiada usaha mengemas kini maklumat portal atau melaksanakan projek yang dirancang.

“Saya agak curiga dengan projek pecah tanah dan portal kerana ia membabitkan projek yang berterusan. Kalau saya rasmi (majlis), beritahu portal ini bagus tapi selepas itu portal tidak dikemas kini, ini sesuatu tidak betul.

"Sebab itu, saya tidak gemar melancarkan portal kerana budaya penyelenggaraan kita agak kurang. Bagi saya, tidak ada makna ada portal tapi berita tidak dikemas kini," katanya ketika merasmikan Ekspo ICT Selangor dan Anugerah Saintis Muda Selangor 2007 sempena sambutan Bulan IT peringkat negeri di SACC Mall, di sini, semalam.

Isnin lalu ketika merasmikan Sistem Kad Prestasi (SKP) kakitangan awam Selangor, Dr Mohamad Khir menyifatkan pemberian anugerah khidmat cemerlang dalam perkhidmatan awam adalah satu ‘pembohongan terancang’ kerana diberikan secara giliran iaitu semua pegawai akan mendapat pengiktirafan itu tanpa menilai prestasi kerja yang sebenar.

Bagaimanapun, Presiden Cuepacs, Omar Osman dilaporkan kecewa dengan dakwaan Dr Mohamad Khir terancang kerana ia boleh menjejaskan imej kakitangan kerajaan, selain merendahkan sumbangan penjawat awam.

Menteri Besar berkata, beliau juga tidak berminat untuk merasmikan upacara pecah tanah sesuatu projek hartanah kerana tidak mahu dibabitkan dengan pembohongan jika kontraktor tidak melakukan kerjanya.

“Sebaliknya saya lebih suka jika ada pihak menjemput bagi menyempurnakan majlis penyerahan kunci rumah,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr Mohamad Khir berkata, kerajaan negeri tidak menolak kemungkinan 100 peratus peruntukan untuk pihak berkuasa tempatan (PBT) akan digunakan untuk mengutip dan melupus sampah dalam masa lima hingga 10 tahun akan datang.

Pada majlis itu, Prof Madya Dr Mohd Basyaruddin Abdul Rahman dari Jabatan Kimia Fakulti Sains di Universiti Putra Malaysia (UPM) muncul pemenang utama Anugerah Saintis Muda Selangor 2007 serta johan bagi kategori produk inovasi, sekali gus membawa pulang wang tunai RM5,500.

No comments: