11 July 2007

Cuepacs kecewa dakwaan Khir Toyo

Berita Harian

KUALA LUMPUR: Cuepacs kecewa dengan dakwaan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo kononnya Anugerah Khidmat Cemerlang yang diadakan setiap tahun bagi mengiktiraf kecemerlangan penjawat awam sebagai kegiatan ‘pembohongan teran-cang’.

Presidennya, Omar Osman, berkata dakwaan itu bukan saja serius, malah merendahkan sumbangan penjawat awam yang bekerja keras melancarkan jentera pentadbiran negara tanpa mengharapkan pengiktirafan atau habuan.

“Pekerja sektor awam amat tersinggung dan kecil hati dengan kenyataan tidak sensitif beliau itu. Ia bukan saja menjejaskan imej penjawat awam seluruh negara, malah melemahkan semangat mereka untuk meningkatkan produktiviti.

“Mereka bekerja dengan penuh dedikasi sehingga diiktiraf jabatan masing-masing tapi dikatakan ‘dirancang’. Sudah tentu mereka rasa terhina,” katanya ketika dihubungi Berita Harian semalam.

Beliau mengulas kenyataan Dr Mohamad Khir kelmarin yang mempersoalkan Anugerah Khidmat Cemerlang yang disifatkannya tidak lebih daripada sekadar pembohongan terancang.

Dr Mohamad Khir mendakwa, anugerah itu bukan berdasarkan prestasi cemerlang kakitangan kerajaan, sebaliknya dibuat secara bergilir untuk memberi peluang kepada semua kakitangan kerajaan menerimanya.

Omar berkata, dakwaan Menteri Besar Selangor itu bukan saja tidak adil, malah akan menimbulkan tanda tanya masyarakat mengenai mutu perkhidmatan awam negara.

“Adakah tahap prestasi sektor awam terlalu buruk pada pandangan beliau. Jika begitu teruk sekali prestasi penjawat awam negara, mengapa pula Perdana Menteri mengumumkan kenaikan gaji kakitangan baru-baru ini. Ini membuatkan masyarakat dan penjawat awam sendiri keliru,” katanya.

No comments: