11 July 2007

Interaksi: Hanya calon layak wajar dipilih terima anugerah cemerlang

Berita Harian


KENYATAAN Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo bahawa pemberian Anugerah Khidmat Cemerlang kepada kakitangan kerajaan setiap tahun sebagai pembohongan terancang, mengejutkan beberapa pihak khususnya Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (JPA), Tan Sri Ismail Adam dan Presiden Cuepacs, Omar Osman.

Sambil menafikan kenyataan Dr Mohamad Khir, Ismail berkata beliau tidak faham apa yang dimaksudkan Menteri Besar itu sebagai ‘pembohongan terancang’ dan jika ada ‘siapa merancangnya’. Omar pula lebih pedas komennya terhadap dakwaan itu: “Siapa beliau untuk memberi pandangan menyeluruh sedemikian. Mengapa Selangor saja ada masalah itu, manakala negeri lain tidak pernah membangkitkan. Kenyataannya membuatkan kakitangan awam marah dan tersinggung. Beliau kena tunjuk hormat kepada pekerja awam.”

Itulah reaksi serta-merta dua pemimpin kakitangan awam terhadap kenyataan Dr Mohamad Khir yang mendakwa anugerah diberikan bukan berdasarkan prestasi cemerlang kakitangan terbabit, sebaliknya dibuat secara bergilir-gilir untuk memberi peluang kepada semua kakitangan kerajaan menerimanya walaupun ada antara mereka tidak cemerlang. Dr Mohamad Khir juga menyoal jika benar ramai kakitangan kerajaan memberi khidmat cemerlang, mengapa Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyatakan sistem penyampaian di jabatan kerajaan masih teruk.

Kita faham perasaan Ismail kerana kenyataan Dr Mohamad Khir secara langsung mempersoalkan sistem yang diwujudkan jabatan beliau sendiri. Sudah tentu sebarang kenyataan negatif terhadap kakitangan awam akan memberi imej buruk terhadap jabatan dan beliau sendiri. Sebagai ketua yang menaungi kira-kira 1.2 juta kakitangan awam, kenyataan Menteri Besar itu sudah tentu dilihat sebagai tamparan hebat kepada seluruh sistem beliau.

Omar juga dalam keadaan sama, kerana sebagai ketua kesatuan kakitangan awam beliau tersinggung kerana gambaran diberikan adalah seolah-olah seluruh kakitangan kerajaan yang menerima anugerah khidmat cemerlang selama ini sebenarnya tidak layak jika dibuat berdasarkan merit. Kita memahami perasaan marah beliau dan sudah tentu layak meminta penjelasan daripada Menteri Besar Selangor mengenainya.

Bagaimanapun, hakikatnya ialah apa yang disebut Dr Mohamad Khir sememangnya wujud. Kebanyakan reaksi yang diterima menunjukkan sistem penganugerahan khidmat cemerlang sekarang memang banyak kelemahannya kerana ketua jabatan menggunakan sistem mereka untuk memilih calon. Selain aduan ketua pilih kasih ketika mencalonkan seseorang, ada juga ketua secara terbuka memberitahu kakitangan mereka pemilihan calon akan dibuat mengikut senioriti, iaitu yang lebih tua dan bertugas lama akan diberi keutamaan tidak kira sama ada kerja dilakukannya layak untuk dipertimbangkan untuk anugerah. Ada juga yang menetapkan sistem kuota mengikut unit iaitu semua unit di bawahnya akan ada wakil untuk memenangi anugerah.

Oleh kerana ketua sendiri sudah menggunakan kriteria sendiri, kakitangan muda walaupun bekerja keras dan yakin lebih layak, terpaksa berdiam diri. Lagipun mereka menerima hakikat ketua yang menentukan nasib mereka. Dalam pada itu, ada juga ketua memilih calon sama hampir setiap tahun untuk dipertimbangkan sama ada kerana rapat dengannya, terhutang budi atau pilih kasih atau ada juga yang sememangnya cemerlang.

Ismail dan Omar perlu menerima hakikat ini. Mereka akan mendapat gambaran sebenar keadaan di bawah jika turun padang dan menemuduga kakitangan awam yang belum mendapat anugerah itu walaupun sudah 20 tahun bekerja.

Kita tidak boleh menyalahkan sistem itu atau kerajaan yang mengendalikannya kerana ia hanya insentif dan terpulang kepada mereka yang diamanahkan untuk melaksanakannya. Masalahnya ialah pelaksanaan seperti juga sistem penyampaian dan penguatkuasaan undang-undang. Memang diakui semuanya tertera secara hitam putih tetapi tindakannya amat lemah dan tidak berkesan. Satu contoh ialah agensi pembekal maklumat kewangan, CTOS Sdn Bhd yang sudah beroperasi 17 tahun tanpa sebarang pemantauan padahal berdasarkan dakwaan di mahkamah baru-baru ini, syarikat itu gagal menyerahkan penyata tahunan syarikat selama empat tahun dan gagal menyerahkan minit mesyuarat agung tahunannya.

Kita kena akui kenyataan Dr Mohamad Khir mengenai anugerah khidmat cemerlang terlalu umum dan menyeluruh. Sudah tentu bukan semua ketua jabatan mengamalkan pendekatan itu dan bukan semua kakitangan awam yang menerima anugerah itu tidak layak. Sistemnya bagus, tetapi pelaksanaan perlu diperbaiki dan dimantapkan supaya hanya mereka yang layak diiktiraf, supaya ia memenuhi matlamat asal anugerah, iaitu mendorong kakitangan lain bekerja rajin untuk dipertimbangkan.

Penulis adalah Pengarang Berita, Berita Harian

No comments: