13 July 2007

Cadang siar nama, JPA berterima kasih pada PAS

Harakah

KUALA LUMPUR, 13 Julai (Hrkh) – Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) merakamkan ucapan tahniah dan memberi sokongan di atas cadangan Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub yang menyokong cadangan JPA supaya menyiarkan nama pegawai perkhidmatan awam yang dikenakan hukuman atau tindakan displin dalam akhbar tempatan.

Ucapan tersebut difaks kepada Salahuddin pada 19 Jun lalu oleh Timbalan Pengarah Kanan, Cawangan Dasar dan Pembangunan Perkhidmatan, Bahagian Perkhidmatan, Datin Rodiah Meor Sulaiman.

Menurut Rodiah, yang menjawab surat Salahuddin, bertarikh 12 Jun 2007, berkata, JPA mengucapkan terima kasih kepada Salahuddin.

“Jabatan ini percaya langkah ini sebagai usaha untuk meningkatkan lagi integriti di kalangan perkhidmatan awam dan sebagai langkah pencegahan (deterrent) yang berkesan.

“Semoga dengan usaha tersebut kakitangan awam lebih berdisiplin dan mempunyai kualiti peribadi yang lebih cemerlang,” kata Rodiah.

Sementara itu Salahuddin dalam suratnya yang dihantar kepada Ketua Pengarah JPA, Tan Sri Ismail Adam pada 12 Jun lalu berkata Dewan Pemuda PAS Pusat, menyokong penuh tindakan JPA untuk menyiarkan nama pegawai dan kakitangan kerajaan yang dikenakan hukuman atau tindakan kerana penyalahgunaan kuasa di dalam akhbar tempatan.

“Tindakan JPA bertepatan dengan nilai-nilai murni Islam atau mengajak kepada perkara yang maaruf dan mencegah yang mungkar,” katanya.

Tambahnya, Pemuda PAS juga berharap usaha tersebut tidak melibatkan campur tangan politik yang boleh merosakkan usaha baik itu. - mks.

No comments: