14 July 2007

Perlunya universiti berubah

Utusan Online

Oleh: BAKHARI ARIFF

KONVENSYEN Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) 2007 di Dewan Serbaguna Esset Bangi yang berakhir Rabu lalu, menghasilkan azam untuk bersedia berubah, bukan sahaja universiti tetapi juga semua mahasiswa tempatan.

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika merasmikan konvensyen itu Isnin lalu tidak percaya status quo atau sikap sentiasa berpuas hati akan membawa kejayaan dalam persaingan dalam era globalisasi tatkala universiti lain seluruh dunia berada di hadapan dalam melahirkan modal insan.

“Institusi pengajian perlu bersedia untuk membuat perubahan-perubahan yang penting jika tidak mahu menganiaya anak-anak bangsa kita,” katanya sambil disambut tepukan gemuruh kira-kira 500 pemimpin pelajar dari 20 IPTA seluruh negara.

Perdana Menteri yang bercakap hampir satu jam yang bertemakan ‘Perjuangan Mahasiswa: Kini dan Masa Depan’ menghuraikan bagaimana Perdana Menteri dan rakyat negara ini mengalami dan melakukan perubahan sejak 50 tahun lampau, demi memastikan negara ini mampu bergerak ke hadapan dengan merdeka dan berdaulat.

“Mengikut pengamatan dan pengalaman saya dalam menjayakan pembangunan negara sejak merdeka ialah perlunya komitmen semua pihak dalam menjana kekuatan modal insan,” katanya dalam konvensyen anjuran Kementerian Pengajian Tinggi, Majlis Kepimpinan dan Latihan Universiti Malaysia (Maklum) dan Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan kerjasama Biro Tatanegara (BTN) dan Direktorat Pelaksanaan Negara.

Dengan andaian tidak berlaku micromanage daripada Kementerian Pengajian Tinggi, IPTA sebagai badan berkanun mempunyai pilihan mengekalkan status quo yang akan meletakkan pensyarah, kakitangan dan pelajar dalam keadaan selesa atau pilihan lain melakukan beberapa perubahan agresif dan rasional.

Meneladani cara Abdullah mentadbir negara, universiti seperti mana ilmu yang cepat bergerak harus melakukan perubahan kerana Abdullah tidak memilih untuk berada dalam zon selesa atau status quo, tetapi mencipta dan memandu perubahan itu ke arah kemajuan tanpa merosakkan fundamental yang diwarisi.

Abdullah juga dengan sedar tahu setiap perubahan yang dilakukan akan berdepan dengan risiko.

Dalam konteks UUM, apabila kenaikan pangkat pensyarah diperketatkan sedikit supaya mencerminkan kesarjanaan, tidak sedikit pensyarah memberontak.

Profesor Madya Dr. Omar Osman yang kini Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) turut menyokong universiti perlu berubah tertakluk kepada kapasitinya, bukan sahaja dari segi struktural tetapi juga nilai-nilai warga universiti.

“Perubahan struktur sahaja tidak cukup kerana perubahan set minda dan nilai kepercayaan lama perlu disesuaikan dengan perubahan baru, supaya perubahan itu dapat bertahan dan memanfaatkan dalam jangka pendek dan panjang,” kata Omar yang sebelum ini pengarah korporat untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) USM.

Namun demikian, menurut Naib Canselor UUM, Tan Sri Dr. Nordin Kardi perubahan tidak hanya perlu dilihat dalam perspektif keindividuan kerana perubahan struktur secara makro juga akan mempengaruhi kepada perubahan mikro.

“Seumpama suatu permainan sukan yang menyediakan gelanggang dan peraturan permainan akan menentukan tingkah laku pemain. Berubah peraturan permainan maka gaya berfikir, bahasa, motivasi, gerak geri dan identiti pemain itu tersebut akan juga berubah,” katanya.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed ‘membaca’ fikiran Abdullah dengan tepat apabila mentafsirkan kehendak perubahan itu dengan perkataan ‘gap’ atau jurang di antara masa lalu dengan masa kini dan di antara persekitaran sekarang dengan persekitaran masa lalu.

“Apabila pelajar mengikuti pendidikan dalam bahasa pengantar bahasa Melayu dan banyak lepasan sekolah kurang berjaya memasuki universiti kerana ada hanya Universiti Malaya, maka kerajaan menubuhkan Universiti Kebangsaan Malaysia,” katanya dalam majlis penutup konvensyen berkenaan.

Ini bermakna perubahan juga bermaksud memerhatikan realiti dan cabaran semasa bagi mengatasi jurang yang ada, sekali gus membawa kepada kemajuan kepada bangsa dan negara.

Barangkali bekas Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Shafie Salleh juga perlu diberikan kredit kerana menukar istilah Tim- balan Naib Canselor Pembangunan kepada Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi pada tahun 2005, petanda kepada pentingnya perubahan dan kreativiti dijanakan di universiti.

Bagaimanapun, hanya pertukaran istilah tidak akan memberi sebarang perubahan dan menyumbang kepada kemajuan jika tidak disusuli dengan tindakan susulan, apa lagi jika peruntukan kewangan tidak disediakan atau ditarik.

Apa dan ke arah mana perubahan perlu dihalakan bagi memastikan universiti dan semua mahasiswa dapat manfaat semaksimum mungkin setaraf dengan universiti ternama dalam dunia?

Naib Canselor USM, Prof. Datuk Dzulkifli Razak percaya antara perkara penting dalam perubahan kepada universiti ialah menghasilkan pelbagai inovasi yang mampu menjana kekayaan dan juga kemakmuran rakyat keseluruhan.

Dalam ucapan tahun baru beliau bertajuk out of the box pada Januari 2003, Dzulkifli menghuraikan dengan begitu terperinci betapa inovasi boleh berlaku dengan rancak apabila disiplin ilmu ‘diklusterkan’ iaitu dengan menggabungkan kembali disiplin yang semakin berpisah mutakhir ini.

Beliau mengambil contoh penggabungan ilmu matematik dengan mekanik telah menghasilkan pelbagai teknologi dan kefahaman baru. Begitu juga perubahan dalam bidang komputer membabitkan sekurang-kurangnya lima disiplin ilmu yang berlainan sejak diperkenalkan Charles Babbage pada 1830-an.

Tanpa penggabungan, menurut Dzulkifli yang kepakarannya bidang farmasi, teknologi komputer hanya mampu menghasilkan tidak lebih daripada sebuah kalkulator mekanikal, dan mustahil wujudnya Internet.

Jika ini berlaku dengan rancak di USM tentunya akan berlaku ‘jurang’ dengan universiti lain, jika universiti lain masih mahu kekal berada dalam kotak sama, dan jurangnya semakin melebar jika dibandingkan dengan universiti ternama dunia yang kini bergerak ke arah menyatukan disiplin ilmu masing-masing bagi menjana inovasi.

Impak kepada penggabungan disiplin ilmu ini bukan hanya menjana kekayaan kepada universiti dan membentuk budaya baru, tetapi juga akan menjana cara berfikir baru dan bertindak mahasiswa dan graduan yang bakal dihasilkan.

“Pemimpin mahasiswa nampaknya bercakap perkara yang sama setiap tahun. Mereka terlalu jinak dan tidak ada idea baru seperti berhujah sama ada mempertahan atau mengkritik AUKU, kelemahan soft-skill dan kebajikan remeh-temeh,” bisik seorang pegawai hal ehwal pelajar ketika hari terakhir konvensyen berkenaan.

Cara berfikir kebanyakan yang hadir dalam konvensyen berkenaan nampak seperti tidak kritikal kepada bahan ceramah, sebaliknya hanya menelan bulat-bulat apa yang diperkatakan. Ini terbukti apabila melihat persoalan atau komen yang dibangkitkan di akhir setiap ceramah.

“Mungkin mereka terlalu dijinakkan seperti ayam daging,” kata pegawai berkenaan yang tidak berpuas hati dengan cara berfikir pemimpin pelajar seluruh negara yang dikatakan tidak memberi insight.

Sedangkan, ciri penting kepada seorang inovator yang perlu dibudayakan seperti ditulis Ditkoff ialah selain mempunyai antena yang sentiasa aktif, tetapi juga mestilah berani mencabar status quo, iaitu fikirannya tidak berpuas hati dengan realiti semasa yang dipersepsikan secara salah, mempersoalkan kebijaksanaan orang berkuasa dan juga berani berdepan dengan andaian-andaian yang mungkin dipaksakan.

- PENULIS ialah pelajar sarjana Sains Politik Universiti Utara Malaysia (UUM).

No comments: