Pegawai MDKS dilucutkan jawatan selepas Harakah dedah tembelangnya
Harakah
KUALA SELANGOR, 13 Julai (Hrkh) - Seorang pegawai Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) akan dilucutkan jawatannya berikutan dakwaan beliau telah menyalahgunakan kuasa secara berleluasan dalam pemberian lesen perniagaan tanpa melalui produser biasa.
Sumber memberitahu Harakahdaily, ura-ura beliau akan diturunkan pangkat dengan mencabut `paku' yang ada pada uniformnya.
Kata sumber itu, pegawai tersebut telah berkhidmat dengan MDKS selama 20 tahun dan dinaikkan pangkat enam tahun lalu.
Sumber itu mendakwa, pegawai terbabit mengaku mempunyai hubungan baik dengan Menteri Besar, Dato' Seri Dr Mohd Khir Toyo dan kenaikan pangkatnya mendapat sokongan daripada MB.
Seorang nelayan yang berniaga ikan di pekan Tanjung Karang, mendakwa pegawai tersebut terus melakukan tindakan ganas terhadap peniaga ikan dengan merosakkan gerai mereka.
Peniaga itu berkata, "Saya sudah buat permohonan untuk mendapatkan lesen perniagaan tetapi sampai sekarang tidak diluluskan.
"Saya hairan kerana peniaga rambutan dan durian di tempat saya ini pun tidak mendapat lesen tetapi tidak diganggu oleh pegawai tersebut," katanya kesal.
Harakah yang meninjau keadaan di tempat peniaga tersebut, mendapati gerai ikan nelayan di pekan Tanjong Karang itu tidak mendatangkan masalah kepada orang ramai seperti mengganggu lalu lintas. – lanh
No comments:
Post a Comment