11 July 2007

Kaji tuduhan MB Selangor-2

Utusan Online

SURAT 2
‘ANUGERAH cemerlang satu pembohongan terancang’ yang dinyatakan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamad Khir Toyo menarik perhatian saya.

Adakah ini satu kebenaran? Apa yang hendak saya nyatakan di sini adalah apa yang sedang berlaku dan telah dilalui oleh isteri saya sendiri.

Isteri saya merupakan seorang guru di sebuah sekolah di Petaling Jaya, Selangor. Isteri saya merupakan seorang guru yang begitu dedikasi dan amat komited mengenai tanggungjawab beliau sebagai seorang pendidik dan ini telah diakui sendiri oleh ketua bidangnya sendiri.

Menyedihkan

Tetapi apa yang menyedihkan setiap kali apabila masa penilaian calon anugerah cemerlang, beliau tidak akan terpilih kerana alasan diberikan ‘belum sampai giliran’ atau ‘kuota untuk guru sebelah petang sudah penuh’ walaupun markah penilaian beliau adalah antara yang tertinggi.

Kami tidak pasti adakah konsep ini juga diamalkan di semua agensi kerajaan yang lain tetapi berdasarkan kenyataan Menteri Besar Selangor nampaknya mungkin ada kebenaran.

Jika ini yang kita amalkan ternyata matlamat penganugerahan tersebut telah lari dari landasannya. Cuba kita fikirkan kenapakah setiap tahun amat jarang sekali kita melihat individu yang sama mendapat anugerah cemerlang?

Adakah ini kerana selepas mendapat anugerah tersebut individu itu sudah tidak menunjukkan prestasi yang cemerlang semasa beliau dianugerahkan?

Atau mungkin sudah sampai giliran orang lain atau cuba kita semua selidik di dalam sebuah jabatan atau sekolah berapa ramai kakitangan awam yang menerima anugerah cemerlang tetapi perkhidmatan masih lagi sama atau pencapaian sekolah-sekolah masih lagi pada takuk lama?

Fikirlah kalau begitu ramai orang mendapat cemerlang tentu aduan mengenai perkhidmatan kerajaan atau amalan ‘duit kopi’ sudah berkurangan dengan drastik sekali.

Kita perlu fikir disebabkan amalan yang sebegini terutamanya yang melibatkan pengiktirafan sumbangan kita jika diperlekehkan akan menjadi pematah semangat atau menjadi duri dalam daging di dalam diri kita.

– ORANG SWASTA,

Selangor.

1 comment:

Anonymous said...

Tidak hairan dengan tuduhan itu, sudah menjadi kenyataan. Kita bekerja dengan sungguh hati, orang nampak tidak payah diberi anugerah. Yang layak dapat anugerah ialah mereka yang rapat dan pandai serta banyak cakap pujian depan ketua. Di belakang kutuk habisan serupa orang tak ada iman. Sebab itu dapat anugerah cemerlang tidak berkat,lepas terima APC makin malas buat kerja.
Saya sudah berkhidmat 30 tahun bertugas sebagai guru, telah menjelajah seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak. Daripada sekolah di pendalaman, luar bandar, pinggir bandar dan bandaraya. Sekolah menengah biasa, sekolah berasrama penuh, maktab perguruan dan sekarang sekolah menengah teknik. Teringin juga naik pentas macam mereka yang muka manis penuh kepuraan, pengetua tak pandang kita sebab kita orang tua yang jaga adab sopan. Jadinya kurang bersembang lama-lama di kantin dan bilik guru, dikata anti sosial. Terpaksa ambil kontrak sampai pencen jadi guru ganti. Yang muda belia juga di pandang pengetua, kerana berdahi licin dan mudah dibawa berbincang secara profesional. Kita dah tua, ada ideapun setakat masuk tong sampah kolot katanya. Markah nilai prestasi tahunan sentiasa kurang daripada 80%, malas nak ungkit dengan pengetua itu kuasa dia. Terimalah penuh kesyukuran, mudah-mudahan masih ada insan manusia yang ingat kita iaitu mantan murid kita. Setidak-tidaknya mereka jemput ke majlis perkahwinan, kira bagus juga dapat naik pelamin (pentas juga) lagi cantik untuk tangkap gambar.
Pesanan saya jangan rasa terkilan, terimalah seadanya. Tugas guru bukan untuk terima pujian dan penghargaan.