RM300j dana kebajikan guru
Berita Harian
Oleh Khirul Bahri Basaruddin, Syuhada Choo Abdullah
Kerajaan umum penubuhan Yayasan Guru Tun Hussein Onn ganti KWSG
JOHOR BAHRU: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi malam tadi mengumumkan penubuhan Yayasan Guru Tun Hussein Onn dengan dana permulaan berjumlah RM300 juta khusus bagi menjaga kebajikan guru.
Perdana Menteri berkata, yayasan berkenaan yang menggantikan Kumpulan Wang Simpanan Guru (KWSG) yang akan dibubarkan tahun depan, antara lain menyediakan bantuan khairat, bencana, kecemasan, pendidikan anak-anak guru dan pembangunan profesionalisme perguruan.
“Kerajaan berharap yayasan ini dapat menjamin kepentingan guru selaras agenda memartabatkan profesion perguruan seperti yang terkandung dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010," katanya pada Majlis Sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan di sini.
Hadir sama, Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman; Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Datuk Dr Zulkurnain Awang dan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Ahamad Sipon.
Kerajaan membubarkan KWSG selepas pencarum termudanya bersara tahun depan dan semua dana serta asetnya berjumlah RM200 juta akan ditambah dengan geran kerajaan berjumlah RM100 juta sebagai dana permulaan yayasan berkenaan, yang dipengerusikan Hishammuddin.
Pada majlis itu, Abdullah turut mengumumkan skim pangkat baru guru besar cemerlang khusus untuk guru besar sekolah rendah bukan siswazah membabitkan kenaikan gred DGA34 kepada DGA38.
Sebanyak 1,600 jawatan berkenaan diwujudkan merangkumi 30 peratus daripada keseluruhan guru besar di seluruh negara.
Perdana Menteri berkata, buat permulaan 300 jawatan itu akan diisi dan ia akan dipenuhi secara berperingkat.
“Saya berharap Hishammuddin dapat mengurangkan kerenah birokrasi dalam memastikan guru besar yang benar-benar berkelayakan dapat memenuhi jawatan ini,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan menitikberatkan profesion perguruan kerana ia amat penting dalam menyumbang kepada pembangunan modal insan bagi memenuhi keperluan menuju matlamat Wawasan 2020.
“Atas sebab itu pelbagai skim dan bantuan diberi kepada guru untuk memastikan mereka dapat melahirkan modal insan yang berkualiti,” katanya.
Perdana Menteri juga berkata, tema sambutan Hari Guru tahun ini, iaitu 'Guru Penjana Modal Insan Cemerlang' amat tepat dengan peranan guru dalam membentuk masyarakat menjelang kemerdekaan negara ke-50.
“Apabila ditanya kepada saya, apakah kejayaan paling besar dicapai negara dalam tempoh 50 tahun, saya dengan tidak teragak-agak menyatakan bahawa kejayaan membangunkan modal insan yang paling utama kerana guru yang mendidik dan mengajar kita hingga mencapai tahap yang ada kini.
“Jika tidak, negara terpaksa terus bergantung kepada tenaga kerja luar seperti yang berlaku sejurus mencapai kemerdekaan.
"Bagaimanapun, cabaran perguruan pada masa kini lebih hebat, sebab itu dasar pelajaran kita perlu sentiasa dinamik dan boleh berubah-ubah dalam memenuhi kehendak dunia serta pasaran kerja," katanya.
Abdullah berkata, kemampuan untuk melihat kepada kehendak berkenaan membolehkan negara terus bersaing di peringkat antarabangsa, terutama dalam bidang ekonomi.
No comments:
Post a Comment