Pengalaman, tenaga ‘orang lama’ diperlukan dalam sektor awam
Berita Harian
ADAKAH rakyat negara ini mampu bekerja sehingga berusia 60 tahun dan adakah tahap kesihatan mengizinkan mereka untuk terus menyumbangkan tenaga bagi meningkat kualiti perkhidmatan sektor awam? Adakah mereka yang sudah berusia lebih separuh abad masih mampu untuk terus produktif dalam perkhidmatan mereka?
Persoalan ini perlu diambil kira sekiranya kerajaan bersetuju dengan cadangan Cuepacs supaya usia persaraan kakitangan awam yang kini dihadkan kepada 56 tahun dinaikkan kepada 60 tahun.
Dekan Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr Lokman Saim, berkata rakyat Malaysia pada masa ini menunjukkan peningkatan ketara dalam kualiti kesihatan mereka berbanding beberapa negara lain yang belum membangun.
“Mereka yang berusia awal 60 tahun kebanyakannya masih cergas untuk bekerja. Jadi, jika rakyat Malaysia bersara pada usia 56 tahun, mereka mempunyai masa lebih kurang 20 tahun hidup tanpa pekerjaan dan ini akan merugikan masa mereka, malah turut merugikan kerajaan kerana mensia-siakan pengalaman mereka.
“Kajian yang dijalankan menunjukkan individu di negara ini boleh hidup lebih lama daripada sesetengah negara lain. Namun, berbanding negara maju, purata jangka hayat mereka lebih lama,” katanya.
Beliau juga menjelaskan bahawa sebenarnya kualiti perkhidmatan mereka yang berusia 50 tahun ke atas lebih tinggi kerana pada usia itu mereka berada pada tahap kecerdasan dan kecergasan terbaik dalam kebolehan bekerja.
Pakar motivasi, Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah, berkata menurut kajian jelas menunjukkan jangka hayat penduduk negara ini semakin panjang dan mereka masih mampu bekerja sehingga berusia 60 tahun. Namun, beliau berpendapat had umur persaraan 60 tahun sesuai dilaksanakan di sesetengah sektor tertentu saja.
Beliau berkata, tidak timbul isu kemampuan melaksanakan pekerjaan selepas berusia 56 tahun kerana sudah terbukti ramai rakyat negara ini masih kuat bekerja sehingga melewati usia 70 tahun.
“Perhatikan saja di kampung. Ramai warga tua masih bertenaga mengusahakan sawah padi, menoreh getah dan memikul kelapa sawit. Ini membuktikan rakyat Malaysia masih bertenaga walau usia sudah menjangkau lebih setengah abad,” katanya.
Beliau menjelaskan, secara psikologi, selagi manusia aktif menggunakan otak, tahap kesihatan akan sentiasa baik dan mereka akan sentiasa ceria serta bertenaga untuk menjadi warga yang berguna. Malah, mereka yang berusia mempunyai banyak pengalaman dan ini secara langsung memberikan kebaikan kepada sektor perkhidmatan awam.
Dr Fadzilah mencadangkan sebelum seseorang pekerja dilanjutkan tempoh perkhidmatannya, beberapa ujian khas perlu dijalankan seperti menguji tahap kesihatan dan keterampilan fizikalnya. Jika didapati masih mampu bekerja, majikan perlu memberikan kursus untuk mengembalikan kembali daya tahan fizikal dan mentalnya.
“Mereka yang berusia itu memang kadangkala nampak seakan jumud, tetapi jika dicaj kembali kemampuan mereka, pengalaman dan pengetahuan mereka akan dua kali ganda lebih menyumbang berbanding mengambil orang baru sebagai pekerja.
“Apa yang membuatkan golongan ‘lama’ nampak seakan tak bermaya ialah kerana minda mereka sudah disogokkan dengan had persaraan 56 tahun. Jika dianjakkan menjadi 60 tahun, pasti mereka meletakkan sasaran lebih tinggi dan produktiviti mereka dikekalkan.
“Contohnya mudah, jika seorang pelari diletakkan syarat menghabiskan satu pusingan padang, dia akan berlari dengan kadar untuk pusingan itu saja, tetapi jika tahapnya dinaikkan ke dua pusingan, pasti dia akan merancang dan cuba mengumpul tenaga untuk dua pusingan,” katanya.
Beliau berkata, banyak sektor dalam kerajaan yang masih memerlukan mereka yang berpengalaman untuk terus kekal berkhidmat seperti peguam, jurutera, juru program, doktor, guru dan pensyarah.
No comments:
Post a Comment