Bangunan kerajaan mesti kerap diselenggara
Oleh: NORAINI ABDUL RAZAK (WARTAWAN UTUSAN)
ISU ‘bocor’ yang menghangatkan sidang Dewan Rakyat minggu lepas masih belum reda walaupun Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menyimpulkannya sebagai telah selesai.
Hakikatnya banyak yang boleh dipelajari daripada insiden tersebut, terlajak perahu boleh diundur, terlepas kata, tanggunglah sendiri akibatnya.
Walau apa pun alasan kedua-dua ahli Parlimen itu, ia sama sekali tidak menghalalkan tindakan mereka menggunakan perkataan-perkataan yang tidak sesuai itu sewenang-wenangnya.
Kita tutup isu ‘bocor’ yang telah menyinggung perasaan kaum wanita di negara ini. Kebocoran teruk bumbung Parlimen seperti yang didedahkan oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu juga menarik perhatian banyak pihak.
Bayangkanlah bangunan kelas A yang menelan belanja RM90 juta untuk proses pengubahsuaian yang siap dua tahun lalu rupa-rupanya mempunyai kecacatan amat teruk di bahagian bumbungnya.
Terdapat enam tempat yang bocor dan masalah itu akan menjadi lebih buruk jika ia tidak segera ditangani.
Yang lebih menghairankan ialah terdapat terlalu banyak sampah di atas bumbung serta paip sehingga menyebabkan pengaliran air tersekat.
Tentunya tiada soal lain yang boleh dikaitkan dengan penemuan ini selain daripada kegagalan pihak berkenaan melakukan penyelenggaraan secara berkala terhadap bangunan yang menjadi lambang demokrasi di negara kita.
Jika kerja-kerja penyelenggaraan dijalankan tentu sampah sarap tidak akan bertimbun di atas bumbung sehingga mengganggu aliran air lantas menyumbang kepada berlakunya kebocoran.
Memang seperti yang ditegaskan oleh Samy Vellu, kita tidak menuding jari kepada sesiapa pun tetapi bolehkah kelalaian seumpama ini dimaafkan begitu sahaja tanpa meletakkan rasa bersalah kepada pihak-pihak yang berkenaan.
Kita tentu masih ingat insiden siling di Dewan Rakyat bocor ketika hujan lebat menyebabkan air melimpah-limpah masuk ke bahagian tempat duduk menteri Kabinet pada April 2005. Bagaimanapun insiden tersebut dianggap kecil kerana ia dikatakan disebabkan oleh masalah air bertakung masuk menerusi lubang yang terbuka gamnya.
Pelik juga mengapa ketika itu tidak dikaji apakah puncanya air bertakung di atas bumbung dan tidak mustahil gam yang terbuka juga disebabkan oleh masalah air yang bertakung itu.
Kita kena ingat setiap sen yang dibelanjakan untuk apa juga projek kerajaan termasuk kos membaik pulih dan menyelenggara melibatkan wang rakyat. Oleh itu kegagalan menyempurnakan tanggungjawab tersebut boleh saja disifatkan sebagai mengkhianati tanggungjawab yang diamanahkan oleh rakyat. Adakah kita sanggup melihat kos RM90 juta untuk pengubahsuaian menjadi sia-sia jika berlaku litar pintas gara-gara pengabaian pihak yang berkenaan untuk menyelenggara bumbung bangunan Parlimen itu?
Bukankah lebih elok dan menjimatkan jika kerja-kerja pengubahsuaian yang dilakukan empat tahun lalu itu turut mengambil kira keperluan membaiki bumbung bangunan yang kini berusia 51 tahun.
Bukankah bumbung merupakan struktur terpenting bagi sesebuah bangunan dan kegagalan untuk memastikan ia sentiasa berada dalam keadaan baik pasti memberi kesan buruk untuk jangka masa panjang. Tidak ada gunanya jika pengubahsuaian yang dilakukan hanya tertumpu kepada aspek kosmetik semata-mata manakala perkara paling utama iaitu memastikan bumbung bangunan sentiasa dalam keadaan baik terbiar begitu sahaja.
Sememangnya melangkah masuk ke bangunan Parlimen selepas diubah suai amat mengagumkan terutama dari segi hiasan dalaman dan kemewahan perabot hatta kantinnya yang serba-serbi indah. Namun ia sama sekali tidak bermakna jika aspek keselamatan diabaikan sehingga boleh menjejaskan struktur bangunan itu secara keseluruhannya.
Kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz bahawa Parlimen tidak mempunyai jurutera atau juruteknik tetap untuk memantau kerja-kerja penyelenggaraan juga mesti dipandang berat oleh pihak yang berkenaan.
Ini kerana sebagaimana yang ditegaskan oleh Samy Vellu kerja-kerja penyelenggaraan dilakukan oleh pengurusan Parlimen, oleh itu tanpa jurutera atau juruteknik tetap pastinya tugas tersebut tidak dapat dilakukan dengan cekap dan berkesan.
Timbul tanda tanya selama ini siapa yang memastikan kerja-kerja penyelenggaraan dijalankan mengikut jadual dan sejauh mana ia menepati piawaian yang ditetapkan.
Soal penyelenggaraan bangunan-bangunan kerajaan baik yang baru dibina atau berusia puluhan tahun kini mesti menjadi keutamaan Jabatan Kerja Raya. Undang-undang yang mensyaratkan pemeriksaan bangunan-bangunan kerajaan mesti dikemas kini supaya ia lebih relevan dengan keadaan semasa. Dan yang paling penting pihak yang dibayar untuk menunaikan tanggungjawab tersebut tetapi gagal berbuat demikian mesti dihukum.
No comments:
Post a Comment