14 May 2007

Pemimpin kesatuan, politik beri reaksi berbeza

PRESIDEN Kesatuan Kebangsaan Profesion Perguruan (NUTP), Anuar Ibrahim, berkata cadangan Cuepacs untuk melanjutkan usia persaraan itu sudah lama dibentangkan kepada kerajaan dan difahamkan Perdana Menteri pernah memberikan maklum balas positif untuk mempertimbangkan kajian itu.

NUTP pada dasarnya amat bersetuju cadangan itu dan berharap kerajaan dapat menyegerakan pelaksanaannya kerana ia mampu membawa kebaikan kepada kerajaan termasuk mendatangkan kesan baik kepada ekonomi negara.

“Jika diteliti secara rasional, dengan menaikkan usia persaraan akan mampu menjimatkan lebih banyak wang negara. Contohnya, mengekalkan kakitangan dalam tempoh empat tahun lagi hanya akan membabitkan penambahan sekitar RM800 hingga RM1,000 bagi kenaikan gaji seorang kakitangan dalam tempoh itu.

“Berbeza jika kakitangan baru diambil, kerajaan terpaksa memperuntukkan lebih RM2,000 seorang untuk membayar gaji mereka di samping membayar pencen kepada kakitangan yang sudah bersara. Jadi, ia lebih merugikan daripada mengekalkan pekerja sedia ada.

“Selain itu, menamatkan perkhidmatan mereka yang sudah lama berkhidmat adalah satu tindakan kurang relevan kerana selagi mereka mampu menyumbangkan tenaga, pengalaman mereka perlu digunakan sepenuhnya. Jika ambil orang baru, kerajaan perlu menyediakan kos tambahan lagi untuk memberi latihan kerjaya kepada mereka,” katanya.

Mengulas kemungkinan semakin ramai menganggur jika ia dilaksanakan, Anuar berkata, masalah pengangguran di negara ini bukan berpunca kerana faktor umur persaraan, tetapi disebabkan sikap terlalu memilih pekerjaan dan lebih mengharapkan kerja ‘makan gaji’.

Katanya, negara maju sudah membuktikan pelaksanaan umur persaraan sehingga lebih 60 tahun tidak menyebabkan pengangguran, malah meningkatkan kualiti dan produktiviti perkhidmatan awam. Justeru, ia juga sewajarnya dipraktikkan di negara ini.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan cadangan itu bukan meminta kerajaan menetapkan had umur persaraan secara wajib, tetapi ia lebih bersifat opsyen dengan memberi peluang melanjutkan umur persaraan kepada mereka yang berminat dan masih bertenaga meneruskan perkhidmatan.

“Jika ada di kalangan kakitangan kerajaan yang sudah tidak berminat meneruskan perkhidmatan dan ingin bersara walaupun seawal usia 40 tahun, kerajaan perlu melepaskan mereka dan memberi peluang kepada yang lebih berminat,” katanya.

Ketua Puteri Umno, Datuk Noraini Ahmad, mempunyai pandangan berbeza dan tidak bersetuju umur persaraan dilanjutkan kerana beranggapan ia boleh menjejaskan peluang generasi muda untuk menceburi sektor awam.

Beliau berkata, kerajaan sewajarnya memberi peluang serta yakin kemampuan generasi muda mencurahkan kemahiran dan idea untuk membantu memantapkan sektor perkhidmatan awam.

“Kebiasaannya, kenaikan pangkat dalam semua sektor, kerajaan mengutamakan mereka yang lebih lama berkhidmat. Jadi dengan mengekalkan mereka yang sepatutnya sudah bersara menyebabkan ramai pegawai tidak berpeluang naik pangkat.

“Jika pengarah lambat bersara, timbalannya lambat menjadi pengarah dan kitaran ini akan berpanjangan sehingga ke peringkat bawahan seterusnya menyebabkan kakitangan muda tidak berpeluang bekerja lebih awal. Ini akan menggalakkan pengangguran.

“Jika sudah sampai masa, sebaiknya bersara dan beri peluang kepada orang baru. Saya pun apabila sudah sampai masanya perlu meninggalkan jawatan Ketua Puteri ini kerana ada ramai orang muda yang layak mengambil alih walaupun saya sayangkan kedudukan ini.

“Bagaimanapun, pengalaman mereka yang sudah bersara jangan diabaikan kerana mereka ini masih diperlukan seperti memberi nasihat dan tunjuk ajar kepada golongan muda supaya perkhidmatan diberi lebih berkualiti,” katanya.

Pengerusi Biro Pengaduan Awam Pemuda Umno, Datuk Subahan Kamal, berkata kerajaan masih memerlukan tenaga pegawai berpengalaman terutama tugas yang memerlukan mereka membuat keputusan penting.

Katanya, dalam tempoh lanjutan usia bersara itu, pegawai sedia ada boleh memberi tunjuk ajar mengenai bidang tugas kepada bakal pengganti dan ini akan memudahkan proses peralihan kelak.

“Pengalaman datang dengan umur dan perkara itu tidak boleh dinafikan. Lagipun, usia 56 dianggap masih muda kerana kebanyakan kakitangan awam mampu meneruskan khidmat dan menyumbang ke arah lebih baik.

“Isu membantutkan peluang orang muda naik pangkat juga tidak timbul kerana 75 peratus rakyat negara kita adalah belia dan warga tua tidak ramai. Dalam membuat keputusan, pasti kita perlu merujuk kepada mereka yang berpengalaman,” katanya.

Katanya, Australia dulu seperti Malaysia yang menetapkan usia bersara 56 tahun, tetapi mengubah dasar itu dengan menetapkan tidak ada had umur bersara dan mereka boleh bekerja selagi terdaya.



No comments: