14 May 2007

Penyelia, guru cemerlang berhak gred lebih tinggi

Berita Harian

IPOH: Kongres Kesatuan Guru dalam Perkhidmatan Pendidikan (Kongres) meminta Kementerian Pelajaran yang akan melantik guru besar sekolah rendah ke gred jawatan lebih tinggi membuka skim sama untuk penyelia dan guru cemerlang.

Presidennya, Jemali Paiman, berkata ada 180,000 guru bukan siswazah dalam sistem pendidikan sekolah rendah sekarang termasuk 2,997 penyelia yang bertugas di Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD).

Beliau yang juga Presiden Kesatuan Guru Lepasan Maktab Semenanjung Malaysia berkata, guru lepasan diploma yang bertugas bertahun-tahun juga menunjukkan kecemerlangan dalam pengajaran tetapi tiada jawatan guru cemerlang untuk mereka.

Katanya, penyelia JPN atau PPD yang mengendalikan kegiatan kokurikulum dan akademik serta peperiksaan untuk murid sekolah rendah juga memberi sumbangan pembangunan modal insan.

"Ketika ini, penyelia JPN atau PPD serta guru besar sekolah rendah hanya berada pada Gred DGA34 dan awal tahun ini, Kongres menghantar memorandum kepada kementerian untuk melantik mereka ke DGA36, DGA38 atau DGA40," katanya kepada Berita Harian ketika dihubungi semalam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dijangka mengumumkan jawatan baru Guru Besar Cemerlang untuk sekolah rendah seperti Pengetua Cemerlang dan Guru Cemerlang sekolah menengah diperkenal sejak 2005.

Jemali berkata, Kementerian Pelajaran memang wajar membuka skim yang lebih tinggi untuk guru lulusan diploma kerana Kementerian Kesihatan mempunyai Gred U40 untuk kakitangannya daripada kalangan lulusan diploma.

Katanya, sektor keselamatan dan sosial seperti anggota bomba mempunyai gred jawatan 38 untuk bukan siswazah bahkan pemandu lokomotif pula berpeluang mendapat gred maksimum 36.

Beliau berkata, gaji maksimum guru pada DGA34 ialah RM3,088 manakala gaji maksimum DGA40 kira-kira RM4,000.

No comments: