14 May 2007

Laporan Khas: Lanjut usia bersara masih dikaji


Kerajaan teliti pelbagai kesan terhadap pelaksanaan cadangan Cuepacs

KONGRES Kesatuan Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mencadangkan usia persaraan wajib kakitangan awam dilanjutkan daripada 55 tahun kepada 60 tahun, pada 1999. Disebabkan keadaan ekonomi tidak mengizinkan ketika itu, cadangan terbabit hanya dapat dilaksanakan pada 2001, tetapi dilanjutkan cuma setahun, kepada 56 tahun.

Januari lalu, dalam pertemuan dengan Ketua Setiausaha Negara, Cuepacs sekali lagi membangkitkan semula cadangan supaya had umur bersara kakitangan awam dilanjutkan kepada 60 tahun. Alasannya, jangka hayat rakyat Malaysia kini meningkat disebabkan gaya hidup aktif dan kesedaran pentingnya menjaga kesihatan iaitu 75 tahun bagi lelaki dan 78 tahun untuk wanita.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sedang membuat kajian cadangan itu serta meneliti pelbagai aspek termasuk melihat amalan kebiasaan umur persaraan diguna pakai di pelbagai negara lain.

Persoalannya ialah ‘siapa rugi dan siapa untung’ jika umur persaraan itu dilanjut sehingga 60 tahun. Apakah benar kerajaan boleh menjimatkan jutaan ringgit dalam bentuk pencen?.

Presiden Cuepacs, Omar Osman, berkata kerajaan dijangka menjimatkan kira-kira RM1.2 bilion dalam tempoh empat tahun jika umur persaraan kakitangan awam dilanjutkan kepada 60 tahun berbanding 56 tahun sekarang.

Katanya, penjimatan itu dianggarkan selepas mengambil kira pelbagai jenis perbelanjaan yang mampu dikurangkan atau dihapuskan apabila had umur persaraan itu dinaikkan.

Presiden Kesatuan Kebangsaan Profesion Perguruan (NUTP), Anuar Ibrahim, pula berkata mengekalkan kakitangan dalam tempoh empat tahun lagi sehingga usia 60 tahun, hanya membabitkan penambahan RM800 hingga RM1,000 bagi kenaikan gaji seseorang berbanding peruntukan lebih RM2,000 untuk membayar gaji seorang kakitangan baru.

Bagaimana pula peluang kenaikan pangkat pegawai bawahan jika ‘bos’ di atas ‘tidak bergerak keluar’ untuk bersara bagi membolehkan pengganti mengambil tempatnya?

Ketua Puteri Umno, Datuk Noraini Ahmad, berkata langkah melanjutkan usia persaraan itu sudah pasti menyekat peluang generasi muda untuk naik pangkat. Sebagai contoh beliau sendiri meskipun selesa dengan jawatan itu, sudah pasti terpaksa melepaskan kedudukan terbabit suatu hari nanti kerana ramai yang layak untuk mengambil alih.

Bagaimana pula dengan saiz 2.2 juta kakitangan awam sekarang, apakah saiz itu nanti terlalu membesar jika usia persaraan dilanjutkan kepada 60 tahun?

Atau kerajaan boleh melaksanakan sistem berpilih iaitu memilih kakitangan awam yang cemerlang dan masih mampu menjalankan tugas saja dibenar bersara pada usia 60 tahun?

Ketika JPA melanjutkan usia bersara wajib daripada 55 kepada 56 tahun, enam tahun lalu, kerajaan dianggar menjimatkan sebanyak RM173 juta bagi tahun pertama pelaksanaannya. Menurut laporan Buletin JPA 2001, penjimatan itu adalah dalam bentuk pencen yang tidak dibayar kepada 17,000 kakitangan yang sepatutnya bersara kerana mencapai usia 55 tahun pada 1 Oktober 2001.

Di samping itu, jumlah ganjaran yang ditangguhkan pembayarannya dianggarkan berjumlah RM814 juta. Dalam pada itu, pembayaran gaji dan imbuhan kepada anggota yang sepatutnya bersara tetapi terus berkhidmat setahun lagi, bukan perbelanjaan tahunan bagi kerajaan. Walaupun mereka bersara pada usia 55 tahun, jumlah itu akan dibayar kepada pengganti mereka.

Oleh itu, kerajaan atau JPA perlu membuat penelitian lanjut. Rasionalnya, kerajaan perlu membayar ganjaran atau wang pencen apabila kakitangan awam bersara wajib pada usia 56 tahun sekarang dan bayaran itu diteruskan hingga mereka meninggal dunia. Selepas itu, bayaran disambung kepada keluarga terdekat.

Ini bermakna kerajaan membelanjakan peruntukan besar untuk pencen kepada pesara yang masih sihat dan mampu bekerja dalam bidang masing-masing.

Melanjutkan perkhidmatan pula bermakna meneruskan pembayaran gaji penuh sedangkan jika bersara, jumlah yang dibayar berkurangan.

Omar berkata, matlamat Cuepacs meminta kerajaan menimbang cadangan had umur bersara daripada 56 kepada 60 tahun bertujuan mewujudkan suasana ‘menang-menang’ antara kerajaan dan kakitangan awam.

“Perlu dijelaskan cadangan Cuepacs supaya had umur bersara 60 tahun adalah pilihan, bukan wajib secara automatik kepada kakitangan awam. Had umur yang disyorkan juga tidak semestinya dipersetujui kerajaan.

“Kita sedar ada sesetengah pekerja tidak mahu melanjutkan tempoh persaraan kerana mungkin sudah mempunyai perancangan sendiri. Ini adalah hak mereka dan kita mahu mereka membuat pilihan,” katanya.

Omar berkata, kayu pengukur kepada cadangan itu memandangkan jangka hayat rakyat Malaysia kini meningkat. Justeru, kebanyakan kakitangan yang mencecah usia 56 tahun masih boleh meneruskan tugas sedangkan jika mereka bersara dan tidak melakukan apa-apa aktiviti, kesan terhadap kesihatan nampak agak ketara.

Selain itu, katanya, kebanyakan mereka yang bersara wajib, kepakaran mereka masih diperlukan dan ini memaksa majikan menawarkan perkhidmatan secara kontrak yang memungkinkan mereka menerima gaji satu setengah bulan.

Kakitangan yang berkhidmat secara kontrak akan mendapat gaji penuh dan pada masa sama, menerima bayaran pencen, sedangkan wang pencen boleh dijimatkan jika mereka masih dalam perkhidmatan.

Beliau berkata, Malaysia adalah negara kedua umur bersara wajib di bawah 60 tahun selepas Brunei iaitu 55 tahun, sedangkan negara lain, usia bersara melebihi 60 tahun dan ada yang tidak menetapkan had umur tertentu untuk bersara.

No comments: