Harapan sempena Hari Guru
Utusan Online
KITA hanya mampu melahirkan rasa simpati dan pilu mendengar berita tentang kegigihan seorang guru wanita yang begitu ikhlas mendidik anak bangsa di ceruk pedalaman akhirnya menjadi mangsa korban nafsu buas pihak yang tidak berperikemanusiaan.
Saya percaya, seluruh negara terkesima dengan berita mengenai seorang guru j-QAF, yang dijumpai mati dalam keadaan separuh bogel dipercayai dibunuh di pedalaman Sarawak berhampiran pekan Kapit.
Kita dapat melihat pelbagai pihak tampil memberikan reaksi dan cadangan mengenai tindakan menempatkan guru perempuan di kawasan pedalaman dan menuntut agar ia dikaji semula.
Antara perkara yang menjadi landasan dan asas pertikaian adalah faktor keselamatan dan kesesuaian guru wanita untuk berada di kawasan pedalaman.
Justeru, timbul cadangan untuk menghantar guru lelaki sahaja bagi bertugas di kawasan pedalaman. Cadangan ini, walaupun baik, mungkin agak sukar untuk dilaksanakan. Ini adalah kerana isu kekurangan guru masih merupakan satu masalah yang menuntut penyelesaian berkesan. Tambahan pula guru bagi subjek seperti JQAF kebanyakannya terdiri daripada guru wanita. Maka tidak boleh tidak, kita terpaksa menggunakan khidmat guru wanita di kawasan pedalaman.
Di samping itu, sekiranya kita mengambil pendekatan untuk tidak menghantar guru wanita ke kawasan pedalaman hanya kerana segelintir kes yang terpencil yang berlaku, ini adalah sesuatu yang perlu kita fikirkan semula.
Kita sepatutnya melihat perkara ini dalam skop yang lebih besar dan holistik. Masalah dan kecelakaan seperti ini adalah sesuatu yang berlaku di mana-mana dan bukan dalam kawalan kita selaku manusia biasa. Bak kata orang malang tidak berbau.
Malah, sekiranya kita perhatikan, jenayah dan masalah yang melibatkan keganasan dan korban nyawa seperti ini lebih tinggi dan kerap berlaku di bandar-bandar besar berbanding di kawasan pedalaman.
Bagaimanapun kenyataan ini tidak menafikan bahawa sesuatu perlu dilakukan untuk mengatasi masalah sedemikian sekali gus mencari inisiatif baru untuk meningkatkan perhatian kita dalam soal kebajikan para guru terutamanya yang berada di kawasan pedalaman.
Sesungguhnya langkah Kementerian Pelajaran untuk memperkenalkan skim insurans kepada para guru di kawasan pedalaman dilihat sebagai satu tindakan yang wajar dan amat bersesuaian.
Namun, jika isu keselamatan menjadi persoalan, mungkin adalah lebih baik untuk kementerian kembali mempertimbangkan dasar untuk menyediakan rumah-rumah guru kompleks dalam kawasan sekolah sendiri seperti sebelum ini berbanding dengan penyediaan Kompleks Kuarters Institusi Pendidikan seperti yang sedia ada. Perkara ini bukan sahaja akan lebih menjaga kemaslahatan para guru, malah akan memudahkan pergerakan dan akses mereka dengan sekolah.
Maka, bersempena dengan sambutan Hari Guru, adalah diharapkan agar kebajikan dan keselamatan para guru akan sentiasa mendapat perhatian semua pihak di pelbagai peringkat memandangkan jasa dan pengorbanan mereka terlalu besar dalam mendidik anak bangsa kita.
– EMAN,
Pasir Salak.
No comments:
Post a Comment