Kastam ‘saman’ 55 kakitangan
Berita Harian
Sistem baru tangani pekerja kerap langgar peraturan berkesan: Abdul Rahman
PUTRAJAYA: Kastam Diraja Malaysia (KDRM) mengeluarkan 55 saman kepada kakitangannya termasuk pegawai sejak memperkenalkan sistem saman perilaku, saman kualiti dan saman pengurusan pada November tahun lalu.
PUTRAJAYA: Kastam Diraja Malaysia (KDRM) mengeluarkan 55 saman kepada kakitangannya termasuk pegawai sejak memperkenalkan sistem saman perilaku, saman kualiti dan saman pengurusan pada November tahun lalu.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Abdul Rahman Abdul Hamid, berkata 55 saman dikeluarkan kepada kakitangan di tiga negeri bagi tempoh sehingga Mac lalu iaitu di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Ibu Pejabat KDRM.
Bagaimanapun, beliau belum menerima jumlah saman yang dikeluarkan di negeri lain memandangkan ada negeri yang tidak berbuat demikian.
“Sebenarnya saman yang dikeluarkan KDRM adalah mekanisme kita menegur. Saya dapati masalah kita bukan tak ada peraturan tapi ia bukan tradisi kita berasa selesa untuk menegur.
“Kita memang suka memuji berjela-jela tapi bila nak tegur kita tak upaya. Keadaan ini berlaku dalam banyak agensi termasuk KDRM,” katanya dalam pertemuan dengan Berita Harian di pejabatnya semalam.
Abdul Rahman berkata, sistem saman itu adalah bertujuan untuk memberitahu kepada pegawai mengenai kesalahan dan kesilapan yang dilakukan sekali gus menunjukkan pengurusan mengetahuinya dan sentiasa membuat pemantauan.
Beliau berkata, pegawai yang menerima saman itu boleh menjadikannya sebagai satu isyarat bahawa mereka tidak dibiarkan.
“Pada peringkat awal saman itu diperkenalkan memang agak memeranjatkan, saman lah katakan...tapi apabila kita memberitahu cara pelaksanaannya, ia menjadi perkara yang boleh diterima.
“Kesannya juga agak nyata di mana kesalahan yang mudah seperti baju tak kemas ditegur, duduk lama di kantin ditegur, tandas kotor ditegur, jadi saya dapati soal disiplin dan perilaku mula dikemaskan.
“Cepat kesannya, kantin sudah kurang orang KDRM, bukan tak pergi minum, pergi tapi balik cepat, kemudian datang ke pejabat dengan selipar, tinggal kasut di pejabat dah tak ada,” katanya.
Ditanya mengenai sasaran kutipan cukai sebanyak RM25 bilion tahun ini, Abdul Rahman berkata, KDRM yakin untuk mencapai sasaran yang ditetapkan dengan mengambilkira tiga faktor termasuk dasar percukaian tahunan yang ditetapkan kerajaan.
Katanya, sistem kenaikan pangkat di kalangan pegawainya dilaksanakan mengikut merit dan faktor kekananan hanya untuk menentukan bahawa seseorang itu berada dalam pertimbangan atau sebaliknya.
Beliau berkata, KDRM sekali lagi mengulangi ketegasan mereka dalam memerangi rasuah dan tidak akan melindungi mana-mana pegawai yang terbabit serta memberi kerjasama sepanjang penyiasatan.
No comments:
Post a Comment