15 May 2007

KPDNHEP mahu tubuh Akademi Penguat kuasa

Berita Harian

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mahu menubuhkan Akademi Penguat Kuasa bagi mempertingkatkan kecekapan pegawai penguat kuasa terutama bidang perisikan, penyiasatan, pemeriksaan dan pendakwaan.

Menterinya, Datuk Mohd Shafie Apdal, berkata cadangan sudah dikemukakan kepada Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri untuk pertimbangan dalam kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Katanya, dengan adanya akademi itu KPDNHEP boleh merangka program latihan dan kursus sesuai dengan keperluan menguatkuasakan sembilan akta berkaitan, terutama Akta Kawalan Harga 1946 dan Akta Kawalan Bekalan 1961.

"Penubuhan akademi membabitkan kos RM60 juta itu sudah diajukan untuk pelaksanaan dalam RMK-9 tetapi ditolak atas alasan kewangan," katanya selepas menghadiri majlis pelancaran sambutan ulang tahun ke-35 Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP di sini, semalam.

Hadir sama Timbalannya, Datuk Veerasingam; Ketua Setiausaha, Mohd Zain Mohd Dom; Timbalan Ketua Setiausaha, Datuk Mohd Shah Mislam; dan Timbalan Ketua Pengarah Penguatkuasa, Iskandar Halim Sulaiman.

Mohd Shafie berkata, pada masa ini KPDNHEP menghantar pegawai penguat kuasa mengikuti latihan di Akademi Polis dan Bahagian Siasatan Jenayah Perdagangan, Bukit Aman.

Katanya, KPDNHEP juga sedang berbincang dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM) untuk membolehkan pegawai penguat kuasa mengikuti pengajian peringkat Ijazah Sarjana di Fakulti Undang-Undang mulai Julai ini.

"Program kerjasama ini diharap dapat meningkatkan pengetahuan pegawai dalam hal ehwal perundangan, sekali gus memperbaiki imej dan kemahiran ketika mengendalikan kes," katanya.

Sementara itu, Iskandar Halim berkata, sikap orang ramai masih gemar menggunakan barang tiruan, menyukarkan tugas pegawai penguat kuasa menguatkuasakan undang-undang.

No comments: