14 May 2007

JPA rujuk amalan peringkat antarabangsa

Berita Harian

JABATAN Perkhidmatan Awam (JPA) sedang membuat kajian serta meneliti pelbagai aspek berkaitan had usia bersara daripada 56 kepada 60 tahun yang dicadangkan Cuepacs termasuk melihat amalan kebiasaan pada peringkat antarabangsa.

Ketua Unit Komunikasi Korporat JPA, Hasniah Rashid, berkata amalan kebiasaan itu juga perlu disesuaikan dengan acuan Malaysia selain mengambil kira jangka hayat sekarang dan implikasi kewangan pada negara.

Bagaimanapun, katanya, sebagai agensi pengurusan sumber manusia dan pemudah cara antara majikan serta kakitangan, JPA perlu menunggu keputusan yang akan dibuat kerajaan untuk tindakan selanjutnya.

“JPA hanya mengetahui mengenai cadangan melanjutkan had umur bersara daripada arahan yang diberi Perdana Menteri dan kenyataan Cuepacs di media. JPA hanya boleh melihat sama ada cadangan itu sesuai atau tidak.

“JPA sudah buat perakuan kepada kerajaan mengenai umur persaraan kakitangan awam, tetapi usia sebenar terpulang kepada kerajaan untuk memutuskannya selepas dibincangkan nanti,” katanya.

Pada masa ini umur persaraan wajib di bawah undang-undang pencen bagi pegawai perkhidmatan awam, pekerja pihak berkuasa berkanun atau tempatan ialah 55 tahun, tetapi kerajaan melanjutkan umur persaraan kepada 56 tahun pada Mei 2001.

Beliau berkata, keperluan mengekalkan kepakaran anggota terlatih dan pengalaman sedia ada dalam sektor awam bertujuan memastikan pulangan optima daripada perbelanjaan besar yang dibiayai bagi melatih tenaga kerja berkualiti.

Mengenai penjimatan pembayaran pencen, beliau berkata pesara akan menerima kurang setahun pencen berbanding jika persaraan wajib dikekalkan pada 55 tahun. Bagi tahun pertama pelaksanaan ketika kerajaan melanjutkan usia bersara kepada 56 pada 2001, penjimatan pencen dianggarkan berjumlah RM173 juta.

Di samping itu, walaupun ganjaran yang akan dinikmati seseorang akan bertambah (kerana bertambahnya 12 bulan perkhidmatan), tetapi dari sudut kerajaan, perbelanjaan untuk membayar ganjaran itu tidak akan meningkat.

Hasniah berkata, walaupun ganjaran sebanyak itu tidak dibayar kepada anggota yang terus berkhidmat sehingga mencapai 56 tahun, jumlah sama akan dibayar kepada penggantinya.

Bagaimanapun, perlanjutan umur persaraan wajib memerlukan pindaan kepada Akta Pencen 1980 (bagi anggota perkhidmatan awam) dan Akta Pencen Pihak-pihak Berkuasa Berkanun Dan Tempatan 1980 (bagi pekerja badan berkanun dan kuasa tempatan).

No comments: