14 May 2007

Insentif baru untuk guru


Berita gembira buat pendidik akan diumum PM di Johor Bahru

MUAR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan mengumumkan beberapa lagi insentif baru untuk guru, termasuk kenaikan elaun sempena sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan di Johor Bahru, Rabu ini.

Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata Perdana Menteri dalam amanat pada sambutan berkenaan akan mengumumkan beberapa perkara berkaitan kebajikan guru bagi memastikan golongan itu dapat memberi fokus menjalankan tugas dengan cemerlang.

Beliau bagaimanapun enggan memberitahu perkara berkenaan, sebaliknya meminta semua pihak menunggu pengumuman gembira yang akan dibuat Perdana Menteri pada sambutan majlis berkenaan.

"Tunggulah Rabu ini, Perdana Menteri akan membuat pengumuman," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pengkisahan Perjuangan Datuk Onn Sempena Sambutan Kemerdekaan 50 Tahun di Dewan Jubli Intan di sini, semalam.

Hishammuddin berkata, perkara berkaitan kebajikan guru diberi perhatian kerana prestasi guru boleh memberi kesan terhadap proses pengajaran dan pelajaran yang menjadi isu penting negara.

"Keutamaan kita ialah amanat Perdana Menteri mengenai bagaimana guru boleh menjalankan tugas dengan cemerlang dan memastikan kebajikan mereka tidak diabaikan.

"Kita tidak mahu guru dibebani dengan pelbagai isu yang boleh memberi kesan kepada fokus mereka mendidik pelajar yang secara tidak langsung akan turut memberi kesan kepada sekolah,” katanya.

Difahamkan, antara lain guru akan menerima lebih peluang kenaikan pangkat, termasuk pewujudan 19,000 jawatan bertaraf Jusa C setaraf pengarah pelajaran negeri untuk guru dan pengetua cemerlang sebagai penghargaan kerajaan bagi memastikan profesion perguruan sentiasa di pandang tinggi dan dihormati.

Bentuk dan struktur gaji jawatan berkenaan dikatakan akan diumumkan Perdana Menteri pada Rabu ini.

Sebelum ini, Kementerian Pelajaran juga mengumumkan tawaran lebih banyak biasiswa tahun depan untuk guru melanjutkan pengajian bagi meningkatkan kecekapan dan peluang kenaikan pangkat bagi mengelak mereka meninggalkan perkhidmatan perguruan.

Selain itu, Elaun Balik Kampung (EBK) diberi kepada keluarga guru manakala Elaun Khas Mengikut Lokasi dan Tahap Kesusahan (EKMLTK) kepada guru dan anggota sokongan yang bertugas di pedalaman, berkuat kuasa 1 Mei lalu.

Pembayaran EKMLTK untuk kakitangan sokongan antara RM500 dan RM1,500 itu membabitkan peruntukan tambahan RM187 juta setahun, manakala EBK pula hanya untuk guru berkhidmat sekurang-kurangnya enam bulan di pedalaman.

Mengenai Majlis Pengkisahan Sejarah Datuk Onn, Hishamuddin berkata, program itu akan diperluaskan ke sekolah bagi membolehkan generasi muda mendapat teladan dan memahami sejarah perjuangan pemimpin terdahulu.

Selain itu, katanya, program berkenaan dapat mengingatkan generasi muda mengenai pentingnya konsep perkongsian kuasa yang diamalkan kerajaan sejak dulu bagi memastikan rakyat hidup aman dan harmoni.

No comments: