02 June 2008

Kementerian kesihatan rumuskan skim perkhidmatan lebih baik untuk doktor

Utusan Online

SANTUBONG 31 Mei — Kementerian Kesihatan sedang merumuskan skim perkhidmatan dan ganjaran yang lebih baik untuk mengekalkan doktor dalam perkhidmatan kerajaan sebagai usaha membendung “penghijrahan profesional” ke sektor swasta.

Menteri Kesihatan Datuk Liow Tiong Lai berkata purata 300 doktor dan 50 pakar pada gred UD41, UD44 dan UD48 meletakkan jawatan daripada perkhidmatan kerajaan, memberikan alasan tidak puas hati dengan gaji, beban tugas dan persekitaran tempat kerja.

"Kementerian sedar dengan kekurangan doktor dan “penghijrahan profesional” ke sektor swasta. Saya berikan jaminan yang kami tidak berdiam diri mengenainya.

"Contohnya, isu elaun bagi pakar dan prospek kenaikan pangkat yang lebih baik bagi mereka sedang dikaji secara serius oleh kementerian dan keputusannya dijangkakan tidak lama lagi.

"Saya beri jaminan yang kementerian akan mengumumkan berita baik itu tidak lama lagi,” katanya pada majlis jamuan malam ke-48 Persatuan Perubatan Malaysia di sini.

Liow berkata kementerian mencadangkan elaun bagi pakar disemak semula sebagai satu insentif kepada doktor untuk kekal dalam sektor awam.

Turut dicadangkan semakan terhadap elaun itu turut meliputi disiplin berkaitan seperti pergigian dan kesihatan awam.

Semakan terakhir ialah kira-kira 20 tahun lepas.

Untuk menarik lebih banyak doktor untuk berkhidmat di kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak, Liow berkata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Ismail Merican sedang mengkaji elaun beban kerja bagi doktor yang bertugas di pedalaman.

Liow berkata kementerian itu sedang bekerjasama dengan kerajaan negeri Sarawak untuk menyemak peraturan sedia ada bagi membolehkan doktor dari Semenanjung membuka klinik swasta di negeri itu.

“Tugas pertama saya ialah menyampaikan keprihatinan Persatuan Perubatan Malaysia supaya doktor Semenanjung Malaysia dibenarkan bebas bekerja di Sarawak.

"Kami berharap kerjasama rapat antara kementerian dan kerajaan negeri akan dapat menyelesaikan masalah itu secepat mungkin,” katanya.

Liow juga berkata kementerian itu sedang berunding dengan Jabatan Perkhidmatan Awam bagi skim perkhidmatan yang lebih baik bagi doktor junior.

"Pegawai perubatan yang telah menamatkan latihan dua tahun dan menjalani kursus induksi wajib dan memenuhi syarat berkaitan akan secara automatik dinaikkan daripada UD41 ke UD44 pada tahun ketiga kerjaya mereka.

"Pada masa yang sama, kebajikan pegawai perubatan UD41 sedia ada yang dilantik sebelum 2008 juga tidak dilupakan. Mereka akan dapat faedah menerusi pindaan sewajarnya terhadap gred mereka,” katanya.

Terdahulu, dalam ucapannya, Presiden MMA Datuk Dr Khoo Kah Lin meminta kementerian menyegerakan penempatan doktor baru.

"Kami tahu Singapura telah mengambil doktor kita kerana proses bagi pengambilan doktor baru adalah singkat kerana permohonan dan pemprosesan dilakukan secara on-line.

“Kami berharap kementerian akan mempercepatkan waktu penempatan penugasan,” katanya.

Beliau juga menggesa kementerian memperbaiki sistem pengangkutan pesakit dari kawasan luar bandar ke pusat bandar seperti Kuching.

— BERNAMA

No comments: