04 June 2008

Sistem penyampaian perlu lebih cekap: TPM

Berita Harian

Oleh Wan Hazmir Bakar


CARI PENYELESAIAN: Najib ketika mempengerusikan Majlis Negara Bagi Kerajaan Tempatan Ke-60, di Putrajaya, semalam. Turut sama, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Ong Ka Chuan dan KSU kementerian, Datuk Ahmad Faud Ismail (kanan).

Kerajaan negeri, PBT diminta tingkat prestasi untuk dinilai dunia

PUTRAJAYA: Semua kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu meningkatkan lagi kecekapan sistem penyampaian bagi memperbaiki prestasi Malaysia dalam senarai Laporan Melakukan Perniagaan Bank Dunia.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata kerajaan negeri dan PBT perlu mengambil kira hasrat kerajaan memperbaiki kedudukan Malaysia yang meningkat daripada tangga ke-23 pada 2006 kepada ke-19 tahun lalu kerana perubahan positif itu antara lain berpunca daripada peningkatan kecekapan sistem penyampaian.

"Sehubungan itu, PBT diminta mempercepat dan mempermudahkan proses dan prosedur (melakukan perniagaan) supaya kedudukan Malaysia lebih baik pada masa akan datang," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Majlis Negara Bagi Kerajaan Tempatan (MNKT) Ke-60, di sini, semalam.

Mac lalu, Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah) mewujudkan lima kumpulan fokus bagi mengenal pasti penambahbaikan yang boleh dilaksanakan bagi meningkatkan kedudukan Malaysia dalam senarai laporan Bank Dunia itu.

Lima bidang kumpulan fokus itu adalah berkaitan penguatkuasaan kontrak, perdagangan rentas sempadan, pendaftaran hartanah, pembayaran cukai dan penutupan perniagaan.

Sehubungan itu, Najib berkata, mesyuarat MNKT meluluskan cadangan penambahbaikan Pusat Setempat (OSC) dalam proses kelulusan projek pembangunan, termasuk pelantikan timbalan pengerusi bagi mesyuarat Jawatankuasa OSC dan penyertaan agensi kerajaan lain sebagai anggota tambahan jawatankuasa itu.

Katanya, antara agensi berkenaan ialah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Suruhanjaya Pengurusan Air Negara (Span), Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (PPSPN) dan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG).

"MNKT juga meluluskan pelaksanaan Sistem Pengurusan Kerajaan Tempatan Elektronik (eLAMS) di semua PBT yang mewujudkan OSC bagi mempercepat dan mempermudahkan urusan permohonan dan kelulusan projek pembangunan," katanya.

Najib berkata, MNKT juga meluluskan pindaan kriteria naik taraf PBT yang diperkenalkan pada Julai 2000 bagi meningkatkan daya saing, imej serta mutu perkhidmatan PBT berkenaan.

Katanya, antara pindaan ialah menaikkan syarat bilangan penduduk daripada 300,000 orang kepada 500,000 dan jumlah pendapatan RM80 juta kepada RM100 juta bagi kriteria bandar raya.

"Bagaimanapun, kerajaan mempunyai kuasa membuat pertimbangan khas kepada PBT khususnya permohonan kerajaan negeri untuk mendapat taraf bandar raya bagi PBT yang meliputi kawasan ibu negeri," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata, MNKT juga memutuskan supaya digubal penilaian dalam bentuk Indeks Prestasi Utama (KPI) bagi memastikan penanaman pokok teduhan di setiap PBT mengikut Panduan Penanaman Pokok Teduhan dan Garis Panduan Landskap Negara Edisi 2 dilaksanakan dengan baik.

"Semua PBT mesti melaksanakan program menanam pokok yang sesuai supaya kualiti hidup dan keindahan kawasan dapat ditingkatkan," katanya sambil menambah MNKT juga mahu Sistem Penarafan Bintang PBT menyeimbangkan penilaian dalaman dengan penilaian luaran.

Najib berkata, MNKT juga mengambil maklum kesimpulan Garis Panduan Aspek Keselamatan dan Kesihatan Stesen Pangkalan dan Telefon Mudah Alih yang disediakan Kementerian Kesihatan.

"Kesimpulannya kita masih berada pada paras bawah bahaya dari segi penggunaan telefon mudah alih. Maka, tidak ada yang harus dikhuatiri pengguna," katanya.

No comments: