02 June 2008

Sarawak mahu doktor pakar

Utusan Online

SANTUBONG 1 Jun - Kerajaan negeri Sarawak meminta Kementerian Kesihatan supaya segera mengisi kekosongan doktor pakar di beberapa buah hospital di negeri ini bagi memastikan rakyat dapat menikmati kemudahan kesihatan yang lebih baik.

Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata, khidmat doktor pakar di Sarawak hanya boleh didapati di Hospital Umum Sarawak (HUS), Sibu, Miri dan Bintulu.

Katanya, sedangkan beberapa hospital bahagian seperti di Sri Aman, Kapit dan Sarikei masih belum mempunyai doktor pakar.

Jelas beliau, hospital-hospital tersebut memerlukan doktor pakar kerana mereka harus berkhidmat di kawasan yang luas.

''Selain itu, jawatan Pegawai Perubatan juga mengalami kekurangan kerana hanya 510 jawatan daripada 1,334 jawatan pegawai perubatan yang diisi.

''Keadaan di klinik kesihatan juga mengalami masalah yang sama iaitu hanya 83 daripada 373 jawatan atau 22.2 peratus sahaja telah diisi," katanya di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian dan makan malam bersama Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) sempena Mesyuarat Agung Tahunan Ke-48 dan Mesyuarat Saintifik Tahunan persatuan itu di sini.

Taib memberitahu, kekurangan doktor pakar di negeri ini akan memberi kesan pada kualiti perkhidmatan perlindungan kesihatan di Sarawak jika ia tidak ditangani segera.

Beliau berkata, keperluan itu sejajar dengan teknologi pada masa sekarang yang lebih banyak menggunakan peralatan yang canggih.

''Selain itu, kita tidak harus mengenepikan sentuhan kemanusiaan dalam penjagaan pesakit yang terbukti berkesan untuk membantu merawat penyakit secara efektif," ujarnya.

Dalam pada itu, Taib berkata, beliau menasihatkan doktor muda yang ditugaskan berkhidmat di Sarawak supaya tidak mengelak apabila diarahkan berkhidmat di klinik luar bandar di negeri ini sebaliknya menganggap ia sebagai latihan dan pengalaman berharga.

''Seharusnya mereka tidak cuba untuk menolak tawaran yang diberi untuk bertugas di klinik luar bandar kerana pengalaman yang diperoleh apabila berkhidmat di hospital daerah dan klinik luar bandar tidak boleh diperolehi di tempat lain," katanya.

Ketua Menteri berkata, beliau yakin pengalaman berkhidmat di luar bandar boleh menjadikan mereka sebagai doktor yang baik pada masa hadapan

No comments: