04 June 2008

Pegawai profesional tuntut setaraf PTD

Berita Harian

SAYA ingin merujuk kepada surat 'Kecewa Pegawai PTD Saja Diberi Peluang Dalam Sektor Kerajaan' yang disiarkan dalam ruangan ini pada 29 Mei lalu mengenai pelantikan wakil atau duta di luar negara.

Sebenarnya kekecewaan yang diluahkan 'Kakitangan Putrajaya' itu bukan asing dalam perkhidmatan awam. Kekecewaan sebenarnya berlaku memandangkan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) bukan saja memonopoli perkhidmatan luar negara, malah juga hampir semua jawatan penting dalam kerajaan.

Hampir semua jabatan Ketua Setiausaha Kementerian dan Ketua Jabatan adalah dikhaskan kepada PTD. Dalam skim PTD, pegawai lazimnya dikelaskan sebagai cemerlang, sederhana dan biasa. Pegawai yang dikategorikan sebagai cemerlang diberi tanggungjawab mengetuai sesuatu kementerian atau jabatan pada gred Utama A atau lebih tinggi.


Pegawai sederhana pula akan memegang jawatan sebagai timbalan pada gred Utama B. Pegawai biasa akan diberi jawatan yang kurang penting dengan gred utama C. Dalam kebanyakan kes, PTD akan menikmati pencen sekurang-kurang atas gred utama C. Tiada PTD akan pencen pada gred utama C ke bawah.

Berbeza dengan PTD, perkhidmatan profesional seperti jurutera, doktor, pegawai pendidikan, pegawai teknologi maklumat dan sebagainya mempunyai peluang kerjaya yang sangat jauh bezanya dengan PTD.

Pegawai dalam skim profesional juga dikelaskan mengikut cemerlang, sederhana dan biasa. Tetapi malangnya, hanya seorang daripada golongan profesional akan diberi tanggung jawab mengetuai sesuatu jabatan. Itu pun atas gred utama B. Mereka sememangnya dinafikan hak mengetuai kementerian atau jabatan.

Dalam erti kata sebenarnya, pegawai profesional yang paling cemerlang hanya dianggap sederhana atau biasa oleh PTD. Kumpulan sederhana pula akan bertuah jika dapat menikmati jawatan utama C.

Kebanyakan pegawai profesional adalah di kalangan pegawai biasa iaitu yang akan pencen sama ada di tahap gred 41 atau 48. Pegawai profesional sebenarnya adalah dari kalangan kelas ketiga dalam perkhidmatan awam.

Berikutan itu, berlaku pertelingkahan berterusan antara Pegawai Pendidikan dengan PTD yang berhasrat untuk mengisi jawatan pentadbir di jabatan pendidikan negeri. Perkara pokok yang jarang diketengahkan adalah PTD yang diberi tanggungjawab memang sangat muda.

Kebanyakan PTD akan mendapat kenaikan pangkat gred 48 selepas lima tahun berkhidmat. Pegawai profesional lain termasuk pegawai pendidikan hanya akan menikmati kenaikan pangkat pada gred 48 selepas 15 tahun berkhidmat.

Bayangkan jika pegawai PTD yang hanya lima tahun berkhidmat menjadi ketua kepada Pegawai Pendidikan gred 44 atau 41 yang sudah 15 tahun bekerja.

Memandangkan peluang kenaikan pangkat bagi pegawai profesional sangat lambat berbanding dengan rakan mereka dalam PTD, maka perasaan kekecewaan berlaku. Pegawai profesional tidak dapat berbuat apa-apa.

Sebaliknya, PTD terutama yang berada di Jabatan Perkhidmatan Awam sering pula mengatakan pegawai profesional tidak produktif.

Sudah sampai masanya perkhidmatan awam melaksanakan reformasi skim perkhidmatan. Mengekalkan ketuanan PTD dan menafikan hak pegawai profesional peluang kenaikan pangkat sama rata akan menyebabkan perkhidmatan awam tidak dapat meningkatkan kecekapan perkhidmatan secara keseluruhannya.

Perkhidmatan awam bukan milik PTD saja, negara tidak memerlukan perkhidmatan profesional sebagai kelas ketiga.

A AHMAD,
Kuala Lumpur.

6 comments:

Anonymous said...

Setuju dengan pendapat Ahmad. Perkhidmatan Awam seolah-olah milik PTD. Merekalah yang beraja di mata dan bertahta di hati. Dicadangkan pegawai skim "pengurusan dan profesional" selaian PTD menubuhkan persatuan khusus bagi mempastikan check and balance dalam menentukan polisi perkhidmatan awam. Selama ini,yang ada cuma persatuan mengikut profesion-profesion tertentu sahaja seperti MMA, Persatuan Jurutera Malaysia, Persatuan Arkitek Malaysia, NUTP dll. Kesatuan yang dicadangkan boleh jadi gabungan persatuan-persatuan profesional dan boleh dinamakan sebagai "Kesatuan Pegawai Profesional Dalam Perkhidmatan Awam".

R

Anonymous said...

Saya tak setuju dgn pendapat Ahmad. Ini kerana bukan semua PTD pencen JUSA C. Ini kerana jawatan Jusa C tak sampai 100 tapai ada ada 5,000 PTD. Ini menunjukan Ahmad tak buat kajian. Sekarang ini bagi Jurutera JKR dengan mudah dapat J54. Malahan ada juga dalam masa 5 tahun telah dapat J52. Begitu juga untuk doktor yang cepat naik pangkat. Tapi bila naik pangkat dia tak bising jadi orng pun tak tahu dia lebih drp PTD.

Anonymous said...

Pada saya, PTD patut dikekalkan sebagai tungak perkhidmatan awam. Tetapi keanggotaan PTD diperluaskan dengan menerima pegawai2 teknikal & professional spt doktor, jurutera, peguam dll yang cekap sebagai pentadbir dalam PTD. Ini supaya PTD lebih professional kerana pegawai perkhidmatan awam menghadapi berbagai isu rakyat & negara. Maka perlu mempunyai imej korporat yang sekata untuk memastikan sistem penyampaian Kerajaan lebih cekap dan mesra pelanggan.

Anonymous said...

PTD Patut dikekalkan dan patut dinaikan pangkat spt sekarang..itu ok tapi dalam masa sama pegawai profesional juga perlu diberikan peluang yang sama..

sekarang Alhamdullilah ada penambahbaikan kepada pegawai profesional. ada sekali saya pernah bercakap dengan beberapa orang pegawai kajibumi dari Jabatan Mineral dan Geosains yang mengikut mereka begitu lambat kenaikan pangkat jawatan mereka. Pegawai yang berkhidmat pada tahun 1994 masih lagi di Gred C41 dan Pegawai yang mula berkhidmat tahun 1990 baru menyandang Gred C44..15 TAHUN BERKHIDMAT MASIH DI GRED41.. JPA Perlu memantau hal ini bagi seimbang. mengapa di satu jabatan/skim perkhidmatan peluang kenaikan pangkat begitu terbuka manakala bahagian lain pula begitu sukar

Anonymous said...

Jurutera bukan shj ada di JKR. Penjawat awam jurutera ada hampir di setiap bangunan kerajaan. Dan jurutera-jurutera inilah yg selama ini dipinggirkan hak utk naik pangkat. Saya dah 10 tahun kerja masih di J41 walaupun sudah ada Ir. Saya setuju dgn komen ke 4 di atas. Mesti sama rata dgn Skim PTD. Perlu juga kepada 'time based'. Experience count!

Aakif Irsyad said...

Mana ada pegawai JKR yang dapat J52 selepas 5 tahun berkhidmat.
Saya juga setuju dgn En. Ahmad.