02 June 2008

Radin Umar dilantik Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi

Utusan Online

KUALA LUMPUR 30 Mei - Ketua Pengarah Institut Kajian Keselamatan Jalan Raya (Miros), Prof. Datuk Dr. Radin Umar Radin Sohadi (gambar) dilantik sebagai Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi berkuat kuasa Isnin ini.

Beliau menggantikan Prof. Datuk Dr. Hassan Said yang tamat tempoh pinjamannya pada 30 April lalu.

Menurut Kenyataan Kementerian Pengajian Tinggi di sini hari ini, pelantikan Radin Umar mendapat persetujuan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

Radin Umar mempunyai pengalaman luas dalam bidang pengajian tinggi dan pernah menjadi Timbalan Naib Canselor Akademik dan Hubungan Antarabangsa Universiti Putra Malaysia (UPM) dari 2005 hingga 2006.

Pada 1996 sehingga 2004, beliau menjawat jawatan Dekan Fakulti Kejuruteraan juga di UPM.

Beliau mempunyai kelulusan Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Kejuruteraan Keselamatan Trafik dari Birmingham University, United Kingdom, Ijazah Sarjana Kejuruteraan dalam bidang Pengangkutan dan Kejuruteraan Trafik (Sheffield) serta Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) dalam bidang Sivil dan Kejuruteraan Struktur (Sheffield).

Menurut kenyataan itu, kementerian tersebut percaya Radin Umar akan memberikan sumbangan penting dalam menerajui pelaksanaan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara ke arah kecemerlangan pengajian tinggi negara menjelang 2020.

No comments: