Showing posts with label DBP. Show all posts
Showing posts with label DBP. Show all posts

20 June 2008

Johan Jaafar engkar arahan PM sambung kontrak Firdaus?

Harakahdaily

Fadilah Abdul Ghafar

Fri | Jun 20, 08 | 3:50:13 pm MYT

Isu-isu panas di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) semenjak tahun 2005 hingga kini masih belum padam. Perkara-perkara yang berbangkit seperti kemandulan, kegelapan dan keterpinggiran DBP tersebut bermula semenjak Dato' Johan Jaafar dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengelola DBP mengganti Tan Sri Kamarul Ariffin pada tahun 2005.

Johan terlalu banyak mencampuri urusan pengurusan di DBP yang tidak sepatutnya dilakukan oleh beliau kerana tugas pengurusan di DBP berada di bawah arahan Ketua Pengarah DBP.

Jika beberapa waktu yang lalu sewaktu Dato' Rahim Bakar dan Kamarul Arifin menjadi Pengerusi Lembaga Pengelola, DBP sangat teguh dan aman damai kerana Pengerusi Lembaga Pengelola waktu itu berjalan di atas landasan Akta DBP 903 yang betul.

Tetapi setelah Pengerusi Lembaga Pengelola DBP bertukar tangan kepada Johan, beliau mulai membuat onar dengan pelbagai kerenahnya dan membelakangkan peraturan-peraturan yang sepatutnya dipatuhi.

Beliau bukan sahaja mencampuri urusan pengurusan DBP, sebaliknya membelakangkan pihak pengurusan DBP dalam beberapa perkara. Contoh yang nyata iaitu mengenai pelantikan Timbalan Ketua Pengarah DBP yang sehingga kini belum tampak jalan penyelesaiannya.

Kini timbul pula isu yang baru iaitu berkaitan dengan pelantikan atau penyambungan Dato' Dr. Firdaus Abdullah selaku Ketua Pengarah DBP.

Menurut sumber-sumber dari Bahagian Dasar, sepatutnya Firdaus sudah dilantik menjadi Ketua Pengarah DBP untuk tempoh dua tahun lagi. Sebab Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri sudah pun mengeluarkan arahan kepada Dato' Seri Hishamuddin Tun Hussein bertarikh 21 Mei 2008 supaya Firdaus dilantik atau disambung semula perkhimatannya di DBP untuk tempoh selama dua tahun.

Tetapi kerana kelicikan dan niat tersurat Johan, pelantikan atau penyambungan tugas Firdaus sengaja dilengah-lengahkan. Maka tidak hairanlah jika dalam Mesyuarat Penuh Lembaga Pengelola DBP pada 26 Mei 2008, tentang penyambungan tugas Firdaus oleh Perdana Menteri dengan sengaja tidak dibentangkan kepada ahli Lembaga Pengelola DBP.

Kesan daripada tidak adanya Ketua Pengarah, DBP kini makin kacau-bilau, apabila para balaci Johan bermaharalela sehingga wujud istilah 'pemerintahan Bintang Tiga' di DBP.

Selain itu, para pengikut Johan dan mungkin dengan restunya mempertikaikan hak, fungsi dan kedudukan Kesatuan Pekerja-Pekerja DBP dan cuba mengharamkan Kesatuan Pekerja-Pekerja DBP.

Untuk melemahkan aktiviti Kesatuan Pekerja-Pekerja DBP, orang-orang Johan telah meminta Pengawai Bahagian Kewangan dan Gaji JPA mengeluarkan arahan bahawa kakitangan S/N 41 ke atas tidak boleh memegang jawatan dan keahlian Kesatuan Pekerja-Pekerja DBP.

Sedangkan pihak berkenaan barangkali lupa, tolol atau bahlul, bahawa kewujudan Kesatuan Pekerja-Pekerja DBP bukan di bawah Bahagian Kewangan dan Gaji JPA, tetapi di bawah Kementerian Sumber Manusia.

Kebahlulan pihak personal DBP tersebut diikuti pula oleh kebahlulan Pengurus Kewangan DBP, Azah Wahab apabila beliau bertindak sewenang-wenangnya mengikut hawa nafsu jahatnya iaitu memberhentikan pemotongan gaji para pekerja yang menjadi ahli Kesatuan Pekerja-Pekerja DBP sebagai yuran bulan ahli kepada Kesatuan Pekerja-Pekerja DBP yang sudah hampir 50 tahun tidak menimbulkan persoalan sedemikian.

Dan yang lebih bangang dan bahlul, apabila pihak balaci Johan menubuhkan Majlis Bersama Jabatan (MBJ) yang baru (haram) di DBP untuk menggantikan MBJ yang sah dari segi undang-undang.

Atas perbuatan para balaci Johan tersebut, pihak Ceupacs (Kesatuan-Kesatuan Pekerja Perkhidmatan Awam) telah menghantar surat teguran kepada pihak pengurusan DBP dan hendak mengadakan pertemuan tentang sikap pengurusan yang anti Kesatuan Pekerja-Pekerja DBP.

Berkaitan dengan isu pelantikan atau penyambungan Ketua Pengarah DBP tersebut Johan cuba memutarbelitkan arahan Perdana Manteri. Sedangkan pada 26 Mei 2008, Dato' Dr. Azmi (Setiausaha Sulit Khas) kepada Menteri Pelajaran sudah pun mengeluarkan surat kepada Johan selaku Pengerusi Lembaga Pengelola DBP supaya mengambil tindakan bagi menguruskan pelantikan atau penyambungan tugas Firdaus sebagai Ketua Pengarah DBP.

Namun, ternyata surat Pejabat Menteri Pelajaran dan surat arahan Perdana Menteri tersebut tidak diendahkan oleh Johan, malah diingkarinya.

Sebaliknya, dalam mesyuarat penuh Lembaga Pengelola DBP yang diadakan pada 26 Mei 2008, persoalan penyambungan atau pelantikan semula Fidaus dibincangkan secara umum dan tidak memaklumkan akan surat arahan Perdana Menteri, sedangkan pada mesyuarat lembaga pengelola DBP tersebut KSU Kementerian Pelajaran Malaysia ikut hadir bersama.

Mustahil KSU Kementerian Pelajaran tidak mengetahui akan arahan Perdana Menteri tersebut. Sepatutnya dalam Mesyuarat Lembaga Pengelola DBP tersebut, soal pelantikan Firdaus sebagai Ketua Pengarah DBP tidak wajar ditangguh dan dipersoalkan kerana pelantikan atau penyambungan semula tugas Firdaus sebagai Ketua Pengarah DBP adalah atas arahan Perdana Menteri.

Dalam hubungan ini, apakah muslihat Johan dan KSU Kementerian Pelajaran Malaysia?

Dalam waktu yang sama juga terdengar ura-ura bahawa Johan telah bersepakat dengan KSU Kementerian Pelajaran Malaysia untuk menghantar memorandum kepada Perdana Menteri bagi menolak pelantikan atau penyambungan semula tugas Firdaus sebagai Ketua Pengarah DBP.

Oleh sebab itulah hingga hari ini, surat pelantikan atau penyambungan semula Firdaus sebagai Ketua Pengarah DBP sengaja dilengah-lengahkan.

Dalam hubungan ini, tidak hairanlah jika Johan bersama balaci-balacinya di DBP semenjak awal lagi telah menghantar surat edaran (survey) yang sangat tidak bersopan kepada kakitangan DBP supaya membuat pilihan sama ada bersetuju atau tidak bersetuju melantik atau menyambung semula Firdaus sebagai Ketua Pengarah DBP. Surat edaran tersebut kononnya sudah mendapat keizinan pihak-pihak (pengurusan) tertentu DBP.

Sedangkan kakitangan DBP sudah mengetahui akan niat jahat yang tersirat serta 'master mind' di sebalik surat edaran tersebut.

Di samping itu, dari sumber-sumber yang boleh dipercayai, KSU Kementerian Pelajaran Malaysia juga telah meminta jasa baik orang tertentu yang baik dengan kakitangan DBP, meminta supaya memujuk Kesatuan Pekerja-Pekerja DBP, badan-badan penulis, individu-individu tertentu menghantar memorandum kepada Perdana Menteri melaluinya (KSU) atau Menteri Pelajaran menolak perlantikan semula Firdaus sebagai Ketua Pengarah DBP.

Dalam perkara ini, apakah hak KSU Kementerian Pelajaran Malaysia menentukan siapa yang berhak menjadi Ketua Pengarah DBP?

Sedangkan tali hayatnya sendiri di Kementerian Pelajaran pun sudah hampir tamat dan tidak mungkin disambung lagi kerana banyak pihak di Kementerian Pelajaran Malaysia tidak menyukai akan sikap dan sifat beliau. Adakah KSU juga bercita-cita untuk menjadi Ketua Pengarah DBP?

Dalam persoalan tersebut, ternyata Johan dan KSU Kementerian Pelajaran Malaysia telah bersepakat dan sekali gus berniat jahat untuk tidak memberi laluan kepada Firdaus menyambung tugasnya di DBP kerana beberapa kes yang berlaku di DBP sebelum ini melibatkan perancangan sulit mereka.

Andaikata Firdaus kembali bertugas sebagai Ketua Pengarah Eksekutif DBP sudah tentu agenda tersembunyi mereka sukar dilaksanakan dengan lancar dan licin.

Sekiranya mereka berdua tidak berniat jahat, kenapakah perlantikan Firdaus sebagai Ketua Pengarah DBP sengaja ditangguh-tangguhkan? Sedangkan mereka mengetahui akan penyambungan atau pelantikan semula Firdaus tersebut atas arahan Perdana Menteri sendiri. Dalam persoalan ini, ternyata mereka dengan sengaja telah mengingkari arahan Perdana Menteri.

Atas tindakan yang disengajakan oleh Johan dan KSU Kementerian Pelajaran Malaysia tersebut sewajarnya mereka berdua diberi surat tunjuk sebab dan diambil tindakan disiplin yang atas keingkaran mereka itu. Mereka ini patutnya sudah boleh dipecat atas keingkaran dan membelakangkan arahan Perdana Menteri.

Sayugia diingatkan bahawa segala permasalahan yang timbul di DBP adalah kerana Johan telah mempermainkan ahli-ahli Lembaga Pengelola DBP yang lain.

Dan segala masalah yang dihadapi oleh DBP dan Firdaus dalam menjalankan tugasnya sebagai Ketua Pengarah DBP sebelum ini adalah disebabkan oleh kerenah Johan juga yang sering kali mengganggu urusan eksekutif.

Segala haru-biru di DBP tersebut sudah diketahui oleh para Menteri Kabinet melalui Jawatankuasa Integriti Parlimen. Dengan perbuatan Johan dan para balacinya itu, imej DBP semakin buruk dan sekali gus mencalar reputasi Dato' Seri Hishamuddin, Menteri Pelajaran Malaysia kerana ketidaktegasannya serta menyambung kembali Johan yang membuat kacau-bilau di DBP sebagai Pengerusi Lembaga Pengelola untuk tempoh dua tahun lagi.

06 June 2008

Cari calon wibawa jadi Ketua Pengarah DBP

Utusan Online

PIMPINAN utama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah pun kosong setelah penjawatnya tamat tempoh perkhidmatannya baru-baru ini. Sehingga kenyataan ini dibuat, belum lagi nampak bayang gantinya.

Memandangkan peranan DBP amat besar sebagai peneraju kegemilangan tamadun bahasa Melayu di negara ini (malah sehingga di peringkat rantau Asia dan antarabangsa jika merujuk perancangan strategi jangka panjang DBP), tokoh yang dipilih perlulah memiliki kewibawaan yang unggul dan dapat memacu DBP bagi merealisasikan perancangannya.

Jika tidak, seperti yang baru berlalu, DBP semacam 'kaku' dan banyak pihak mengambil peluang untuk tidak 'menghormati' bahasa Melayu sehingga keadaan berleluasa sekarang ini.

Membiarkan jawatan penting ini terlalu lama pastinya akan menggendalakan usaha memperkasa kembali bahasa Melayu sebagai bahasa pengucapan tamadun ilmu. Adakah negara sudah ketandusan tokoh? Rasanya tidak!

Tokoh seperti Prof. Dr. Awang Sariyan yang kini menjawat jawatan Profesor bagi Kerusi Pengajian Bahasa Melayu di Beijing antara tokoh yang paling layak dan sesuai bagi memikul tanggungjawab tersebut.

Tokoh lain yang boleh pertimbangkan juga ialah Prof. Madya Datuk Zainal Abidin Borhan (Pengarah Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya) di samping pengarah-pengarah bahagian Kementerian Pendidikan yang berwawasan seperti Datuk Zainal Abidin Ahmad.

Gabungan mana-mana tokoh tersebut dipercayai dapat mengembalikan maruah dan peranan DBP. Walau apa pun, mana- mana calon yang terpilih perlulah mampu memikul amanah ke arah memartabatkan semula bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu khususnya bagi bidang sains dan teknologi agar kembali semula ke landasan yang betul seperti status sebelum tahun 2002 - daripada peringkat rendah sehingga ke peringkat pengajian tinggi.

Hanya cara ini tamadun bahasa Melayu akan kembali gemilang akibat pengembangannya yang menyeluruh bagi semua bidang ilmu, tegasnya tidak dihadkan bagi bidang-bidang tertentu sahaja.

KAMAL SHUKRI ABDULLAH SANI

Timbalan Presiden

Persatuan Linguistik Malaysia

09 May 2008

Kesatuan pekerja DBP dakwa ahlinya diugut

Muda Mohd Noor | May 8, 08 11:48am Yang dipertua Kesatuan Pekerja Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Hasni Abas mendakwa ahli kesatuan tersebut diugut dikenakan tindakan disiplin, termasuk dipindahkan ke bahagian lain, jika mereka terus menjadi ahli kesatuan pekerja-pekerja DBP.

Katanya, ini kerana kesatuan tersebut telah dua tahun berjuang membantah dasar dewan itu yang melantik pegawai kanan tanpa mengikut peraturan.

Berikutan itu dakwa Husni, 50 hingga 60 ahli telah berhenti daripada menjadi ahli kesatuan tersebut, kerana bimbang dikenakan tindakan disiplin.

"Malah sehingga hari ini masih ada yang berbuat demikian," katanya.

Husni mendakwa, pihak pengurusan DBP telah memanggil setiap ahli kesatuan dan bertanya mengapa mereka menjadi ahli kesatuan tersebut.

Beliau mendakwa, mereka telah diberi amaran supaya meninggalkan kesatuan itu, jika tidak mahu dikenakan tindakan disiplin.

Menurutnya lagi, pengurusan DBP juga mempersoalkan kesahihan penubuhan kesatuan sekerja DBP.

Rundingan tertutup

Kesatuan pekerja DBP, kata Hasni, membantah dasar DBP melantik pegawai kanan tanpa mengikut peraturan.

Sebagai contoh, katanya, pegawai kanan bahagian bahasa dan sastera boleh dilantik dari kalangan mereka yang tidak mempunyai kelulusan dan pengalaman dalam bidang tersebut.

Hasni juga berkata, rundingan antara pihak kesatuan dengan pengurusan DBP sudah terhenti ekoran keengganan DPB bertemu pihak kesatuan.

Malah, katanya, pihaknya hanya bertemu pihak pengurusan DBP sekali sahaja sepanjang tahun lalu dan tiada langsung tahun ini, sedangkan ia sepatutnya diadakan empat kali dalam setahun.

"Boleh saya katakan begini, pintu rundingan antara pihak kesatuan dengan pengurusan DBP telah tertutup," tambahnya lagi.

Beliau berkata, DBP mempunyai kira-kira 750 pekerja tetap dan sekitar 380 orang menjadi ahli kesatuan tersebut.

14 April 2008

DBP perlu Pengerusi dan Ketua Pengarah baru

Harakah
Hasnee Abbas
Mon | Apr 14, 08 | 8:35:21 pm MYT

Harakah terbitan 1-15 Mac 2007 telah menyiarkan peristiwa piket Kesatuan Pekerja-pekerja Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 12 hingga 15 Februari 2007.

Piket tersebut diadakan kerana membantah campur tangan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP Dato' Johan Jaafar dalam proses pelantikan jawatan Timbalan Ketua Pengarah DBP.

Setelah setahun piket tersebut berlalu, isu pelantikan Timbalan Ketua Pengarah DBP masih tidak selesai. Johan Jaafar bukan sahaja tidak berganjak dengan keputusannya, malah mengarahkan Ketua Pengarah DBP, Dato' Dr Firduas Abdullah melantik calonnya dengan berbohong kepada Menteri Pelajaran Malaysia waktu itu melalui surat yang dihantarnya dan meminta perakuan yang sepatutnya tidak berlaku kerana Jawatankuasa Lantikan dan Naik Pangkat DBP telah memutuskan calon yang selayaknya, tetapi Johan Jaafar ternyata tidak akur dengan keputusan tersebut, malah membuat keputusannya sendiri.

Di samping itu juga, meskipun Kesatuan Pekerja-Pekerja DBP menolak kedudukannya selaku Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, ternyata dengan rasa tidak bertangungjawab dan tidak bermaruah beliau terus memegang jawatan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP hingga kini.

Perbuatan Johan Jaaffar mencampuri urusan pelantikan jawatan Timbalan Ketua Pengarah DBP dengan melantik orang yang tidak layak dari segi kewibawaan, kepakaran dalam bidang teras DBP dan tidak amanah serta menolak calon yang dipilih oleh Jawatankuasa Lantikan dan Naik Pangkat bukan sahaja melanggar tatacara Lembaga Pengelola DBP, juga melanggar akta DBP pindaan dan perluasan 1995 Unang-undang Malaysia Akta A 930 yang telah digubal oleh Parlimen Malaysia.

Pihak Kesatuan Pekerja-pekerja DBP telah meghantarkan surat dan memorandum bantahan kepada Perdana Menteri Malaysia, Badan Integriti Parlimen dan Menteri Pelajaran Malaysia tentang perbuatan Johan Jaaffar yang telah tidak menghormati dan melanggar Akta tersebut, tetapi sehingga Parlimen dibubarkan pada 13 Febuari 2008 ternyata Menteri Pelajaran Malaysia merangkap Ketua Pemuda Umno Malaysia yang sering bercakap berkobar-kobar di kaca tv, tidak memberikan respon dan tidak mengambil tindakan yang sewajarnya.

Mungkin tindakan tersebut tidak dilaksanakan oleh Menteri Pelajaran Malaysia waktu itu kerana didorong oleh maklumat daripada segelintir ahli Lembaga DBP yang bersekongkol serta dayus dengan perbuatan dan niat jahat Johan Jaaffar itu.

Faktor kedua, berkemungkinan kerana Menteri Pelajaran Malaysia waktu itu ialah seorang pemimpin muda yang hanya berani bercakap bergegar-gegar di Perhimpunan Agung Umno dengan menghunus keris kayu yang dicat, tetapi hatinya kerdil dan pengecut menyebabkan beliau tidak berani bertindak secara wajar.

Sepanjang Johan Jaffar menjadi Pengerusi Lembaga pengelola DBP, dia telah menggunakan kedudukannya dan bersubahat dengan Menteri Pelajaran Malaysia waktu itu (Ketua Pemuda Umno) untuk membawa masuk ahli-ahli politik muda Umno yang tidak ada langsung pengetahuan tentang fungsi teras DBP sebagai Ahli Lembaga Pengelola DBP.

Faktor inilah yang menyebabkan keadaan DBP menjadi mandur, kucar-kacir dan haru-biru serta berubah fungsi menjadi kelab pemuda Umno bukan badan pejuang bahasa dan sastera kebangsaan.

Manakala Ahli Lembaga Pengelola yang berlatar belakang bahasa, sastera, dan penerbitan hanya menjadi ahli yang minoriti dan 'pak turut' semata-mata. Hal seperti ini belum pernah berlaku sepanjang 51 tahun sejarah pelantikan Lembaga Pengelola DBP.

Kelemahan ini disebabkan oleh Menteri Pelajaran Malaysia merangkap Ketua Pemuda Umno yang percaya sepenuhnya kepada kelicikan Johan Jaaffar yang pintar beretorik tetapi tidak berilmu.

Johan Jaffar berbuat demikian dengan tujuan untuk mendapatkan sokongan daripada orang-orang politik bagi merealisasikan agenda politiknya dan untuk kepentingan peribadinya.

Johan menggunakan kedudukkannya selaku Pengerusi Lembaga Pengelola DBP sebagai tapak atau batu loncatan untuknya mendapat tempat dalam politik (kononnya dia akan menjadi ahli Parlimen Muar atau dilantik sebagai senator Dewan Negara) dan sekali gus mempolitikkan DBP.

Kedudukannya sebagai Pengerusi Lembaga Pengelola DBP ialah untuknya mencapai tujuan dan kepentingan peribadinya semata-mata dan bukan untuk memartabatkan DBP sebagai institusi bahasa dan sastera yang unggul di negara ini.

Banyak tindakan-tindakannya yang tidak mematuhi peraturan-peraturan DBP dan membelakangkan kedudukan ketua eksekutif DBP, umpamanya mengadakan Perhimpunan Pemuda Malaysia bagi membantah kekejaman Israel terhadap Palestin, Baca Puisi Puteri Umno, Wacana Tokoh-tokoh untuk golongan terpilih, memanggil sebuah syarikat terkenal untuk membuat kertas cadangan mengubahsuai bangunan lama DBP menjadi kota buku sedangkan kabinet telah meluluskan bahawa bangunan tersebut dijadikan muzium bahasa dan sastera, memanggil Ketua Bahagian di Jabatan Sastera menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Sastera yang dipengerusikan olehnya tanpa melalui Ketua Pengarah DBP dan macam-macam arahan tidak langsung terhadap pengarah dan ketua bahagian di DBP supaya melaksanakan agendanya.

Dia juga memusuhi NGO dan badan-badan penulis seperti Gapena yang tidak mendukung agendanya. Maka wajarlah jika Kongres Bahasa dan Persuratan ke-VII menjadi kacau-bilau dan hampir-hampir tidak dapat dilaksanakan kerana tidakkan bodohnya yang tidak rasional dan professional.

Demi meneruskan agenda politiknya, maka wajarnya sepanjang PRU ke-12, dia berkubu di Parlimen Semberong, Johor berkempen dan mengampu Ketua Pemuda Umno Malaysia, dengan harapan supaya tempoh lantikannya sebagai Pengerusi Lembaga Pengelola DBP yang akan berakhir pada pertengahan bulan April 2008 ini dapat disambung lagi.

Sekiranya, Johan terus diberi kepercayaan memegang tapuk kekuasaannya di DBP, jangan sekali-kali terkejut apabila DBP akan menerima nasib yang sama dengan Barisan Nasional dan Umno yang kecundang dalam PRU ke-12.

* Penulis adalah YDP Kesatuan Pekerja-Pekerja DBP

28 November 2007

Kaji Kamus Dewan sebelum kritik

Berita Harian

SAYA ingin memberi reaksi terhadap kenyataan Ahli Parlimen Grik, Datuk Dr Wan Hashim Wan Teh bertajuk 'DBP alami kemandulan minda' yang disiarkan dalam muka hadapan Berita Harian, semalam. Saya telah lama meninggalkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tetapi saya berasa terpanggil untuk membuat reaksi terhadap kritik atau teguran terhadap badan perancangan bahasa negara yang penting ini.

Dengan mengatakan bahawa Jawatankuasa Istilah DBP sedang mengalami semacam 'kemandulan minda' kerana kononnya badan ini tidak berjaya atau tidak berusaha melakukan penyelidikan untuk mencari istilah asli' bahasa Melayu dan tidak hanya mengambil atau meminjam istilah daripada bahasa Inggeris, saya kira ini bukan kritikan, tetapi tuduhan yang tidak benar.

Sebenarnya, DBP banyak memasukkan perkataan dan 'istilah asli' bahasa Melayu yang diberikan makna saintifik atau makna khusus dalam Kamus Dewan. Cubalah kaji kamus itu dengan teliti.

Menuduh DBP mencipta istilah seperti 'bajet' untuk menggantikan istilah yang sudah lama dan biasa digunakan, iaitu 'belanjawan', ini kenyataan yang salah. Setahu saya istilah 'bajet' bukan dicipta DBP tetapi dicipta oleh ahli politik Malaysia pada waktu itu yang tidak menghiraukan pandangan pihak yang lebih mengetahui dalam bidang perancangan bahasa dan pembentukan istilah.

Contoh lain: siapakah yang mencipta istilah seperti 'cif inspektor' (menggantikan istilah lama 'ketua inspektor') dan beberapa istilah pangkat polis yang lain? Istilah seperti itu bukan dicipta oleh pakar istilah yang memerah otak dalam Jawatankuasa Istilah DBP untuk mencipta istilah yang sesuai, tepat dan sesuai dengan budaya dan sistem linguistik bahasa Melayu.

Yang mencipta istilah itu ialah orang bukan ahli bahasa dan ahli istilah dalam Polis Diraja Malaysia. Bayangkanlah, dalam bahasa Melayu sudah ada perkataan 'cif' yang diceduk bulat-bulat daripada perkataan Inggeris 'chief'.

Jadi, kalau adalah jawatan seperti 'ketua penghulu' maka sepatutnya jawatan ini diubah menjadi 'cif penghulu'. Inilah yang dikatakan perbuatan merosakkan bahasa Melayu - bahasa yang hebat, bahasa yang kaya dengan perbendaharaan katanya yang dapat digunakan untuk mengungkap apa saja fikiran, idea, rasa hati dan perasaan manusia.

Untuk makluman Dr Wan Hashim yang juga orang ilmuwan dan sarjana, kebanyakan istilah yang dipinjam atau 'diserap' daripada bahasa Inggeris dengan penyesuaian linguistik dan ejaan yang sesuai ialah istilah khusus dalam bidang ilmu khusus, bukan istilah biasa dan umum.

Kebanyakan istilah itu diambil daripada bahasa Latin-Greek melalui bahasa Inggeris kerana tidak ada istilah padanannya dalam bahasa Melayu asli. Sebenarnya istilah itu bukan istilah Inggeris tetapi asalnya istilah Latin-Greek.

Kebanyakan bahasa yang maju di dunia termasuk bahasa Jepun dan bahasa Korea, mengambil atau meminjam dan menyerap istilah sains dan teknologi daripada sumber yang sama, iaitu sumber bahasa Latin dan bahasa Greek klasik.

Anggota Jawatankuasa Istilah DBP bukan orang sembarangan tetapi terdiri daripada sarjana dari pelbagai bidang ilmu, tidak saja ahli bahasa. Mereka tidak mencipta istilah sesuka hati mereka saja.

Wan Hashim tentu tahu bahawa di dunia ini bahasa Inggeris adalah antara bahasa yang paling banyak meminjam kata-kata biasa apatah lagi istilah ilmu (sains, matematik dan sebagainya) daripada bahasa Latin dan Greek klasik.

Istilah itu tidak ada dalam bahasa Inggeris asli. Hari ini tidak ada satu pun ayat bahasa ilmu, bahkan ayat biasa dalam bahasa Inggeris, yang tidak mengandungi rata-rata lebih daripada 80 peratus perkataan atau istilah Latin-Greek. Kerana inilah bahasa Inggeris berkembang dan maju.

Jadi, tidak benar sama sekali kalau dikatakan bahawa Kamus Dewan adalah kamus rojak. Yang mencipta bahasa Melayu rojak bukan ahli bahasa, bukan orang DBP, tetapi orang yang tidak tahu bahasa Melayu, orang yang sudah hilang budaya bahasa Melayunya.

Sering kali orang Melayu termasuk orang di DBP sendiri terlalu bergantung pada perkataan biasa dalam bahasa Inggeris untuk berfikir dalam bahasa Melayu, padahal kita boleh berfikir dengan cekap, lancar dan cukup kreatif menggunakan perkataan biasa bahasa Melayu yang jumlahnya cukup banyak.

Orang Melayu dulu kala, orang yang mencetuskan fikiran dan pandangan hidup yang tinggi nilai ilmunya, misalnya melalui peribahasa, pepatah dan pantun, mampu menggunakan bahasa Melayu yang indah, betul dan puitis tanpa bergantung pada kamus dan buku tatabahasa, padahal mereka boleh jadi tidak tahu membaca dan menulis.

Saya juga sering tidak puas hati dengan kecekapan DBP sekarang tetapi saya tidak sanggup membedal badan ini secara terbuka kerana perbuatan ini tidak berfaedah. Kita sepatutnya menyokong dan memberi bantuan fikiran dan cadangan yang baik kepada DBP untuk membolehkan badan ini menjalankan tugasnya dengan lebih cekap dan lebih produktif, tidak hanya membantai saja.

Saya tidak fikir kita dapat menerbitkan ribuan buku dalam pelbagai bidang ilmu dalam tempoh berkenaan jika tidak ada ratusan ribu istilah ilmu diciptakan, dikembangkan dan dimantapkan DBP.

Janganlah kerana beberapa perkataan atau istilah yang kita tidak suka, kita bantai badan ini seolah-olah tidak berguna lagi.

Saya ingin mengingatkan pihak pimpinan DBP supaya mengendalikan badan yang penting ini dengan lebih cekap berdasarkan pertimbangan dan wibawa ilmu dan lebih berani dan tidak kerana takut ditegur dan dimarah oleh pemimpin politik mereka.

DATUK DR HASSAN AHMAD,
Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan.

Peranan DBP dipersoalkan

Utusan Online

Oleh AZMAN ANUAR (WARTAWAN UTUSAN)

KEPADA kakitangan Dewan Bahasa dan Pustaka kritikan Ahli Parlimen Gerik, Datuk Dr. Wan Hashim Wan Teh terhadap Jawatankuasa Istilah badan pembina bahasa itu cukup memedihkan hati.

Pengerusi Institut Terjemahan Negara Malaysia itu mempunyai alasan untuk mengatakan Jawatankuasa Istilah DBP mengalami kemandulan minda kerana gagal mewujudkan istilah-istilah baru bagi memperkasa bahasa Melayu.

Sebenarnya peranan DBP sudah lama dikritik. DBP dilihat gagal dalam usaha untuk mengatasi penggunaan bahasa rojak jika jawatankuasa itu hanya menyeduk istilah bahasa Inggeris menjadi istilah baru dalam bahasa Melayu.

Minggu lepas Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Datuk Johan Jaaffar mengatakan agensi bahasa itu berdepan dengan peranan yang semakin mencabar. Katanya, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tidak difahami termasuk ada pihak mempertikai fungsi dan peranan DBP.

DBP perlu berhati-hati dalam memilih istilah. Kita bimbang istilah bahasa Inggeris yang seolah-olah sudah menjadi ‘bahasa ibunda’ dan lingua franca globalisasi akan mengetepikan istilah bahasa Melayu seperti mana bahasa rasmi negara kita ini mengetepikan bahasa suku tertentu seperti bahasa Banjar, Rawa dan Minang.

Istilah

Jika kita tidak berhati-hati istilah bahasa Melayu juga boleh mengalami kepupusan. Maknanya kewujudannya tidak dihargai dan dirasai.

Sejak ditubuhkan setahun sebelum merdeka, fungsi utama DBP ialah merealisasikan dua rancangan besar iaitu melalui pembinaan bahasa dan pengembangan bahasa.

Ketika menyambut ulang tahun ke-50 DBP tahun lalu, Ketua Pengarahnya yang berdarah Minang, Datuk Dr. Firdaus Abdullah mengumumkan akan menstrukturkan semula DBP agar lebih berwibawa dan kembali dihormati oleh masyarakat.

Hakikatnya, usaha beliau itu belum mencapai tahap yang dijanjikannya. DBP kini berdepan dengan sedemikian hebat cabaran, yang bukan sahaja menimbulkan keraguan tetapi juga masyarakat mulai menanyakan makna peranan badan berkanun yang ditugaskan memartabatkan bahasa kebangsaan.

Secara jujur, DBP berada dalam dilema yang luar biasa. Semangat DBP yang dibina pada 1956 lahir di tengah-tengah kesedaran kebangsaan dan era nasionalisme linguistik perlu dihidupkan kembali.

Jika orang bijak pandai bahasa dan pakar-pakar bidang ilmu gagal mencipta istilah baru dalam bahasa Melayu, kita tentulah khuatir sekiranya orang mulai mengabaikan penggunaan bahasa rasmi negara.

Elok kita bertanya kepada warga pimpinan DBP, apa yang telah mereka lakukan untuk memastikan bahasa kebangsaan berada pada tahap yang kita mahukan.

10 March 2007

Piket DBP: 71 pekerja diberi surat tunjuk sebab

Roy Rasul
Wed | Mar 07, 07 | 05:37:14 AM

KUALA LUMPUR, 7 Mac (Hrkh) – Seramai 71 pekerja Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menerima surat tunjuk sebab daripada pihak pengurusan semalam kerana menyertai piket anjuran Kesatuan Pekerja-pekerja DBP pada 15 Februari lalu.

Yang Dipertua Kesatuan Pekerja-pekerja DBP, Hasni Abas berkata, notis tunjuk sebab bertarikh 5 Mac lalu diberikan atas dakwaan tentang kelakuan yang melanggari peraturan-peraturan di bawah akta badan-badan berkanun (tata tertib dan surcaj) 2000 (Akta 605).

Bagaimanapun katanya yang dihubungi Harakahdaily hari ini, jika berdasar pemahaman badan berkanun, piket dikirakan salah jika dibuat secara individu.

Namun katanya, piket yang dilaku pada hari tersebut atas anjuran kesatuan pekerja.

Sementara itu katanya, pihak kesatuan akan menjawab surat tersebut secara ‘standard’ iaitu dari segi teknikal, tuduhan serta peraturan-peraturan yang ada.

“Lagi pun piket tersebut sebagai protes dan jika majikan kami mahu kenakan tindakan mengapa mereka tidak memberi respon terhadap permintaan kesatuan untuk rundingan di atas isu yang dibangkitkan tempoh hari,” tegasnya.

Malah dakwanya, pihak majikan seolah-olah melihat kesatuan seperti ‘kongsi gelap’ dan tidak mewakili pekerja.

Tambahnya surat tersebut yang perlu dijawab di dalam tempoh 14 hari dari tarikh surat tersebut akan dijawab oleh pekerja terlibat dan juga kesatuan dengan melalui nasihat Penasihat Undang-undang Kesatuan Pekerja dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) minggu depan.

Sementara itu, piket pekerja DBP yang dianjurkan selama empat hari bermula 12 Febuari lalu diadakan bagi membantah proses pengisian jawatan Timbalan Ketua Pengarah (TKP) DBP yang didakwa tidak mengikut akta DBP dan Jawatankuasa Lantikan dan Naik Pangkat, Lembaga Pengelola DBP. - mks.

Pelantikan TKP DBP, pihak kesatuan mungkin bawa kes ke mahkamah

Ali Bukhari Amir

Fri | Mar 02, 07 | 12:48:55 AM
KUALA LUMPUR, 2 Mac (Hrkh) - Kesatuan Pekerja-pekerja Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)
mungkin akan membawa isu berhubung pelantikan Timbalan Ketua Pengarah (TKP) DBP
yang terbaru ke mahkamah sekiranya isu tersebut tidak dapat diselesaikan secara
dalaman.


Yang Dipertua kesatuan Hasni Abas berkata keputusan tersebut diputuskan dalam
mesyuarat kesatuan pada 22 Februari lalu.


"Kita tidak dapat menerima keputusan ini kerana ia membabitkan soal
perundangan dan akta yang kami gunakan selama ini untuk melantik seseorang bagi
mengisi jawatan-jawatan tertentu."


"Kita perlu memastikan bahawa amalan pelantikan kepimpinan ini berjalan dengan
baik berasaskan undang-undang DBP. Jika tidak, hal ini akan berterusan dan
diamalkan sebagai suatu budaya pula."


"Akhirnya," kata Hasni, "kita sudah tidak lagi mempedulikan peraturan. Apabila
hal ini berlaku, suatu masa nanti kenaikan pangkat seseorang adalah berasaskan
perasaan suka atau tidak suka oleh seseorang individu ke atas individu lain,
tanpa mempedulikan kelayakan akademik mereka."


Hasni berkata, tindakan mahkamah dibuat apabila pihak kesatuan melihat telah
tiada penyelesaian melalui kaedah lain.


"Sepucuk surat telah kami terima daripada pihak pengurusan. Ia menyebutkan,
pelantikan sudah pun dibuat dan kami perlu menerimanya dan bekerja seperti
biasa," kata beliau.


Ketika ditanya, tidakkah hal menghebahkan isu ini ke media akan menjejaskan
nama baik DBP, Hasni berkata, hal menjaga nama baik itu bermula daripada pihak
atasan dan ia melibatkan semua pihak.


"Jika mahu menjaga nama baik, jangan melakukan hal yang bertentangan dengan
peraturan. Yang kami lakukan sekarang adalah respon terhadap amalan pihak
atasan sebelum ini."


"Pihak kesatuan boleh menjaga nama baik, tetapi pihak atasan harus juga
menjaga nama baik dengan mengikut segala proses pelantikan yang telah sedia
ada," kata beliau.


Seorang ahli kesatuan DBP yang enggan disiarkan namanya berkata, kes ini perlu
diberi perhatian serius memandangkan DBP adalah lambang dan asas kepada
kewujudan tamadun Melayu.


"Sebelum ini hal pelantikan seperti yang sama telah diamalkan di beberapa
jabatan. Tetapi, kami tidak membawa kes ini kerana ia melibatkan orang-orang
bawahan. Selain itu, kita tiada sebarang bukti seperti dokumen yang kuat untuk
mengesahkan hal tersebut," kata sumber itu. - mks.