02 June 2008

Sabah urus dana khas

Berita Harian

Oleh Veena Rusli dan Suzianah Jiffar




Kerajaan Pusat umum mansuh JPPS berkuat kuasa serta-merta

KOTA KINABALU: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (gambar) membawa perkhabaran yang dinantikan pemimpin negeri ini sejak 17 tahun lalu apabila mengumumkan pemansuhan Jabatan Pembangunan Persekutuan Sabah (JPPS) semalam, berkuat kuasa serta-merta.

Berikutan pemansuhan itu, Pejabat Pembangunan Negeri Sabah (SDO) seperti negeri lain akan menguruskan peruntukan khas Perdana Menteri dan memantau pelaksanaan projek persekutuan.

Susulan itu, pejabat pembangunan bahagian di Tawau, Sandakan, Kudat, Beaufort/Keningau dan Kota Belud ditutup.

JPPS diwujudkan pada 1991 apabila kerajaan negeri ditadbir Parti Bersatu Sabah (PBS) yang ketika itu menjadi pembangkang. Kedudukannya sebagai saluran peruntukan Kerajaan Persekutuan dilihat tidak lagi relevan sebaik Barisan Nasional (BN) kembali memerintah pada 1994.

Perdana Menteri berkata, selama ini ada wakil rakyat dan pentadbir di Sabah yang menyangka saluran peruntukan pembangunan dilakukan secara langsung oleh JPPS dan bukan agensi kerajaan negeri.

"Ini cuma salah faham dan tanggapan itu salah. Kita menyalurkan peruntukan kepada agensi masing-masing, contohnya kalau dari Kementerian Kesihatan akan diberi kepada Jabatan Kesihatan negeri," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan perjumpaan tertutup dengan pegawai kerajaan dan pemimpin BN di Magellan Sutera Harbour Resort di sini, semalam. Hadir sama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman.

Turut diumumkan Perdana Menteri dalam lawatannya ke Sabah kali ini ialah:

  • Dana RM1 bilion daripada Peruntukan Khas Perdana Menteri untuk pembangunan Sabah.
  • Penubuhan Jawatankuasa Tinggi Kabinet Mengenai Pendatang Tanpa Izin di Sabah yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

  • Pembinaan jana kuasa 300 megawatt oleh Petronas dengan kerjasama Yayasan Sabah di Kimanis.

  • Pelaksanaan Skim Tukar Lantik membabitkan pegawai perkhidmatan negeri menyertai perkhidmatan awam Persekutuan di peringkat tinggi dan pertengahan.

  • Menubuhkan Focus Group dalam usaha membasmi kemiskinan terutama di Sabah dan Sarawak.

    Pengumuman Abdullah itu dilihat sebagai keprihatinan Kerajaan Pusat terhadap pelbagai perkara dibangkitkan pemimpin dan wakil rakyat BN Sabah dalam pertemuan hati ke hati bersama Perdana Menteri, 7 April lalu.

    Antara isu dibangkitkan dalam pertemuan Perdana Menteri dan pemimpin parti komponen BN Sabah bulan lalu ialah pertindihan fungsi JPPS dari segi pelaksanaan program kerana Sabah bukan lagi ditadbir parti pembangkang.

    "Menerusi beberapa perubahan baru ini, saya harap penyaluran peruntukan kewangan bagi keperluan projek pada peringkat daerah demi manfaat rakyat dapat dilaksanakan dengan lebih cepat.

    "Pada masa sama, saya mahu semua kakitangan di pejabat daerah di Sabah menambah kecekapan dan produktiviti, selain meningkatkan iltizam dan kesungguhan melaksanakan tanggungja-wab terhadap rakyat," katanya.

    Mengenai pembinaan jana kuasa di Kimanis, Abdullah berkata, Petronas akan merangka pelan khusus bagi pembangunan industri hiliran petroleum membabitkan petrokimia.

    Menyentuh masalah pendatang tanpa izin di Sabah, Perdana Menteri berkata, ia adalah isu besar dan kompleks yang tidak mudah diselesaikan.

    Justeru, katanya, beberapa pemimpin Sabah akan dilantik menganggotai jawatankuasa berkenaan, selaras usaha mencari kaedah terbaik menangani isu yang sudah lama berlarutan itu.

    Antara yang akan diberi perhatian ialah mencari penyelesaian kepada masalah pemegang dokumen IMM13, yang dikeluarkan Jabatan Imigresen kepada pelarian Filipina untuk membolehkan mereka berada di Sabah.

    Selain itu, Abdullah turut mengumumkan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Datuk Kamaruzaman Ampon, sebagai Naib Canselor UMS yang baru, menggantikan Prof Datuk Mohd Noh Dalimin, yang bersara wajib.
  • No comments: