OKU kesal sukar dapat kerja
JABATAN Perkhidmatan Awam (JPA) memperkemaskan lagi pelaksanaan dasar satu peratus peluang pekerjaan dalam perkhidmatan awam kepada orang kurang upaya (OKU) menerusi Pekeliling Perkhidmatan Bil 3 Tahun 2008.
Bagi golongan OKU seperti saya, pastinya langkah digariskan JPA itu memberikan sedikit sinar harapan untuk kami mencongak peluang sebagai penjawat awam.
Saya adalah seorang OKU lulusan diploma dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada 2004. Selepas itu saya mengisi borang permohonan on-line (SPA8i) dan sehingga hari ini Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) hanya memanggil saya untuk temu duga sebanyak tiga kali.
Setahu saya berdasarkan maklumat di laman web SPA, OKU adalah satu daripada golongan di dalam kumpulan pemohon yang diberikan pertimbangan khas, yang akan dipanggil temu duga tanpa sebarang tapisan.
Malang, nasib yang saya terima pula berbeza kerana nama saya sering kali tercicir daripada panggilan urusan temu duga bagi iklan jawatan yang dimohon melalui laman web SPA, sedangkan saya memenuhi kelayakan minimum ditetapkan.
Saya juga berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat, permohonan masih dalam tempoh sah dan jawatan yang saya daftar tidak ada mensyaratkan ujian fizikal. Saya pernah mengajukan hal ini melalui e-pertanyaan di laman web SPA, tetapi sehingga setahun tiada maklum balas dan jawapan yang diharapkan.
Tahun ini saja saya tercicir semua jawatan yang saya mohon bagi iklan panggilan temu duga oleh SPA. Pada pendapat saya, sekiranya pihak SPA berasakan golongan OKU tidak layak untuk menjawat sesuatu jawatan itu, maka patutlah dimasukkan tambahan di dalam syarat lantikan iaitu `OKU tidak layak dan tidak dibenarkan memohon' supaya golongan OKU seperti saya faham dan sekurang-kurangnya kami tidak berasa hak satu peratus peluang pekerjaan dalam perkhidmatan awam seperti sengaja dinafikan.
OKU TERCICIR,
Klang, Selangor
2 comments:
Saya oku mencari jobs lagi takde lagi yg terima sy dah 10tahun mencari tak dapat lagh
Saya pun xtahu pihak mana boleh bantu saya dapat kerja
Post a Comment