05 September 2008

Pampasan lebih baik bagi 1,860 anggota tentera hilang upaya

Utusan Online

KUALA LUMPUR 4 Sept. - Seramai 1,860 anggota dan veteran tentera yang kurang upaya akan menikmati skim faedah yang lebih baik mulai bulan ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, skim baru itu melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM13 juta.

"Tunggakan bayaran faedah untuk pegawai dan anggota tentera yang sedang berkhidmat akan dibuat secara berperingkat mulai bulan ini dan untuk golongan veteran mulai Januari tahun depan," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Wisma Pertahanan di sini.

Najib yang juga Menteri Pertahanan berkata, melalui skim baru itu, anggota yang layak turut mendapat kemudahan faedah ex-gratia bencana kerja seperti pegawai perkhidmatan awam yang lain berkuat kuasa 1 Januari 2001.

Sebelum ini, bagi Perkhidmatan ATM, faedah hilang upaya dan kematian hanya disediakan di bawah Peraturan-peraturan Angkatan Tetap (Pencen, Ganjaran dan Faedah-Faedah Lain) 1982.

Mengikut peraturan sedia ada, jika seseorang anggota ATM mengalami hilang upaya yang dikaitkan dengan tugas semasa dalam perkhidmatan, mereka boleh dibayar pencen hilang upaya atau ganjaran hilang upaya pada kadar tertakluk kepada darjah hilang upaya tersebut.

Najib berkata, kerajaan bersetuju untuk memanjangkan faedah ex-gratia bencana kerja itu berdasarkan kajian pekeliling Perkhidmatan Awam yang menunjukkan daripada segi prinsip pengiraan dan bayaran pampasan, ia memberi tambahan nilai serta jauh lebih baik daripada skim faedah hilang upaya yang terdapat dalam Perkhidmatan ATM sekarang.

Beliau berkata, menerusi skim baru itu, bayaran pampasan bagi hilang upaya 20 peratus dan ke atas akan dibayar secara pukal dan juga bulanan berbanding skim lama iaitu dibayar pencen hilang upaya bulanan sahaja.

Elaun Layanan Senantiasa (ELS) bagi hilang upaya 100 peratus dinaikkan kepada RM500 berbanding RM440.

- Bernama

No comments: