04 September 2008

Jabatan kerajaan disaran tubuh panel ulama

Utusan Online

KUALA LUMPUR 3 Sept. - Jabatan-jabatan kerajaan disaran supaya menubuhkan sebuah panel ulama masing-masing supaya segala perancangan untuk membangunkan negara dapat dibuat bersama tanpa timbul sebarang pertelingkahan.

Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria berkata, cadangan penubuhan panel tersebut pernah disarankan kepada kerajaan beberapa tahun lalu, tetapi ia belum terlaksana.

''Apabila pentadbir (umara) atau kerajaan membuat sesuatu polisi atau dasar, golongan ulama boleh memberi pandangan serta nasihat.

''Oleh itu, jika panel ulama di dalam jabatan-jabatan kerajaan diwujudkan, ia boleh dijadikan landasan bagi golongan ulama menyokong polisi atau dasar yang dikemukakan oleh pentadbir untuk masyarakat,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya golongan pentadbir dan ulama, menjalin kerjasama yang lebih rapat.

Katanya lagi, ia bertujuan supaya segala isu berkaitan dengan agama Islam dapat diselesaikan secara lebih menyeluruh.

Harussani berkata, dalam pentadbiran sesebuah kerajaan, umara yang sentiasa berdamping dengan ulama bukan sahaja boleh mengekalkan keamanan negara, tetapi juga dapat menghindar daripada kacau-bilau.

Mufti Johor, Datuk Nooh Gadut pula berpendapat, jalinan kerjasama umara dan ulama merupakan cara pengurusan Islam dan pengurusan yang sebaik-baiknya.

Beliau berkata, untuk membangunkan negara, bangsa dan tamadun, kedua-dua golongan itu perlu duduk di dalam satu seminar peringkat kebangsaan bagi membincangkan agenda-agenda ke arah pembangunan negara dan ummah.

''Kita sedar di kalangan umara dan ulama ada pendapat yang berbeza. Oleh itu, pendapat yang berbeza itu diturunkan dalam pelaksanaan satu seminar supaya dapat dicari persamaan,'' katanya.

Beliau menegaskan, gabungan umara dan ulama daripada pelbagai bidang harus dipandang daripada sudut satu kekuatan kerana ia dapat memperbaiki mana-mana kelemahan yang ada dalam urusan pentadbiran sesebuah kerajaan.

Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Ulama Malaysia, Saleh Ahmad berkata, golongan ulama bukan sahaja perlu dihormati dan disanjungi, tetapi mereka merupakan tempat rujukan para umara.

''Sudah lama kita menyokong jalinan kerjasama rapat di antara pentadbir dengan ulama agar negara terus membangunkan,'' katanya.

Beliau berkata, tidak dinafikan terdapat ulama yang dijadikan alat politik.

Sehubungan itu, beliau menegaskan, profesion ulama jangan dipolitikkan kerana ia akan membuatkan masyarakat meragui dan tidak percaya kepada golongan ulama.

Tambahnya, ulama harus bersikap tegas dan tidak mempunyai kepentingan sampingan.

Justeru, katanya, beliau tidak mahu ada di kalangan ulama yang mengambil kesempatan melalui isu agama untuk kepentingan politik.

''Ulama perlu tegas dalam memberikan pandangan. Jangan berdolak dalik dan jangan menjadi alat politik kerana sifat-sifat negatif inilah yang akan meruntuhkan institusi ulama dalam negara,'' katanya.

No comments: