Guru Cemerlang kurang di sekolah berasrama penuh
Berita Harian
SETAKAT ini, hanya 83 Guru Cemerlang mengajar di sekolah berasrama penuh (SBP) seluruh negara, manakala 14 daripada 54 institusi itu masih belum mempunyai guru berjawatan berkenaan.
Jurang jumlah Guru Cemerlang antara SBP juga ketara apabila ada sekolah mempunyai empat hingga lapan guru berjawatan berkenaan berbanding kebanyakan institusi yang sekadar memiliki seorang guru berkepakaran tinggi dalam bidang pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran pengkhususan itu.
Guru Cemerlang paling ramai di SBP bagi mata pelajaran Matematik, iaitu 17 orang, diikuti Kimia (14), Biologi (12), Bahasa Malaysia (lapan), Matematik Tambahan dan Fizik, masing-masing tujuh, manakala Bahasa Inggeris enam.
Pendidikan Islam, Kemahiran Hidup dan Geografi, masing-masing mempunyai dua Guru Cemerlang, sementara Sejarah, Bahasa Arab dan Bahasa Arab Komunikasi pula masing-masing seorang di SBP seluruh negara.
Timbalan Ketua Nazir (Operasi), Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK), Kementerian Pelajaran, Esah Jantan, berkata perangkaan semasa itu menunjukkan jumlah Guru Cemerlang di SBP masih belum memadai dan perlu ditingkatkan.
‘Kekurangan Guru Cemerlang di SBP perlu diberi perhatian kerana falsafah kewujudan SBP adalah untuk melahirkan pemimpin cemerlang dan usaha itu harus dilaksanakan secara menyeluruh termasuk memastikan kualiti pendidiknya.
“Antaranya, guru SBP perlu menyiapkan diri mereka sama ada memohon atau dicalonkan sebagai Guru Cemerlang, manakala guru berjawatan itu sedia ada berusaha meningkatkan gred mereka secara berterusan,” katanya ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Guru Cemerlang di SBP dari Perspektif Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti.
Esah berkata, antara faktor mengekang usaha memperbanyakkan Guru Cemerlang di sekolah harian dan SBP adalah guru malu memohon sendiri, permohonan guru tidak diserahkan kepada kementerian kerana ketua jabatan mempunyai calon pilihan sendiri, penyebaran iklan dikatakan tidak sampai kepada guru dan tidak sanggup memikul tanggung jawab serta harapan tinggi terhadap pendidik berjawatan itu.
Beliau berkata, ada juga guru yang menganggap mereka sudah berada di zon selesa dan tidak mahu ditukarkan, enggan menduduki Penilaian Tahap Kecekapan serta tidak memahami falsafah dan semangat konsep laluan kerjaya Guru Cemerlang.
“Faktor kekangan ini perlu ditangani semua pihak termasuk guru, pentadbir sekolah serta Kementerian Pelajaran. Guru SBP perlu bersemangat memajukan diri dan memikul tanggung jawab besar menjadi Guru Cemerlang.
“Pengetua pula perlu sentiasa memberi dorongan dan peluang kepada guru termasuk mengenal pasti dan mencalonkan pendidik di sekolah masing-masing sebagai Guru Cemerlang.
“Perancangan perlu dibuat supaya setiap SBP mempunyai bilangan Guru Cemerlang bersesuaian dengan jumlah dan taburan mengikut mata pelajaran,” katanya.
Mengenai harapan JNJK terhadap Guru Cemerlang di SBP, Esah berkata, sewajarnya mereka daripada kelompok guru serba boleh yang bukan saja dapat diteladani pelajar dan guru lain, malah berupaya dijadikan model kepada guru berjawatan itu di sekolah harian.
No comments:
Post a Comment